Peringatan : entry ini mengandungi maksud-maksud yang tersirat. Sila patuhi papan tanda sepanjang perjalanan. Jika keliru, sila rujuk ikhwah atau akhawat yang memahaminya, dan jangan membuat tafsiran sendiri secara melulu.
Khusus buat diriku yang masih bertatih di jalan penuh ranjau. Jalan yang garis mulanya sudah jauh ditinggalkan, namun titik penghujungnya masih belum kunjung tiba. Baton ‘larian’ perjuangan sudah bertukar tangan entah berapa kali, tidak pasti.
Aku, yang masih hingusan, mula menyambut baton itu kira-kira dua tahun yang lepas. Namun, aku hanya berlari, tanpa memahami matlamat perlumbaan ini. Juga tanpa memahami prioriti-prioriti di sepanjang larian. Kerap kali aku berlari mengikut kehendak hatiku. Sekali sekala aku singgah di mana-mana perhentian bagi melepaskan lelah, namun menyambung semula dengan pecutan yang deras. Akibatnya, aku akan ‘pancit’ sebentar dan terpaksa berjalan sahaja. Sehingga tenagaku pulih, aku akan memecut kembali.
Mei 2010
"Akhi, enta lari macam tu ke? Tak efektif la macam tu. Sebab tu enta cepat penat. Enta ingat jarak larian kita ni dekat ke?"
Gulp!
Betul juga. Tidak pernah aku fikirkan sebelum ini.
"Habis, ana nak buat macam mana?"
"Mari kita lari sama-sama. Ana akan lari bersama enta."
Baru ku tahu. Banyak sekali kesilapanku dalam larian sebelum ini. Dek kerana tidak sabar mencapai garis penamat, aku membazirkan tenaga secara membabi buta. Menyangkakan di depan ialah garis penamat, tapi ia hanyalah fatamorgana sebenarnya. Seperti pengembara di padang pasir yang kehabisan air, terlihat seperti ada lopak air jauh di hadapannya, namun tiada apa-apa, kerana itulah ilusi di padang pasir ketika panas terik memancar ke bumi.
Sebenarnya, graf larian aku sangat merosot sekitar April 2010. Dan pernah terlintas di fikiranku untuk berhenti dan ‘mengambil angin’ di perhentian yang nampaknya sungguh menggiurkan. Penuh keseronokan dan kesenangan. Mungkin juga, tidak salah jika aku terus berhenti dan bermastautin di situ?
Astaghfirullah.
Mujurlah aku tidak berbuat begitu. Alhamdulillah, ada tangan yang ingin menghulur bantuan, memberi ‘kasih sayang’ ukhuwwah fillah untuk aku kembali berlari, kali ini dengan lebih efektif, dan yang penting sekali, jelas dan faham matlamat larian serta apa yang perlu kufokuskan.
Jun 2010
"Akhi, esok kita tambah sikit kelajuan kita ya?"
"Insya Allah."
Hari ini aku cuba menambahkan kelajuanku, tapi nampaknya aku menjadi cepat penat pula.
"Eh, akhi, apa enta bawak ni? Kenapa bawak sekali? Beratlah."
"Saje-saje bawak. Kalau rehat, boleh kita berhibur dengannya."
"Akhi, perjalanan kita jauh dan penuh halangan. Tapi, kadang-kadang kita membawa beban yang tidak wajar dibawa. Sebab itulah kita cepat penat. Di depan kita, laluan semakin cerun, semakin sukar dan menguji ketahanan mental kita."
"Macam tu ke? Baik, ana buang sekarang juga."
Esok.
"Alhamdulillah, hari ini enta berjaya menambah kelajuan larian tapi tidak pula penat dengan cepat."
"Baarokallaahu laka wa lii, semuanya atas bantuan enta."
Laluan larian semakin curam. Mujurlah ikhwah yang bersamaku itu memberi pesanan supaya aku membuang beban yang tidak wajar kubawa, agar larianku lebih pantas dan mudah. Kerana beban yang berat akan melembapkan larian, dan cepat meletihkan dalam perjalananku. Bukanlah salah membawa bebanan yang berat, tapi jika membawa sebarang keperluan yang tidak perlu, tidakkah ia akan menjadi bebanan yang sangat membebankan?
Penghujung Julai 2010
"Ana hendak berlari bersama ikhwah yang lain. Boleh tak?"
"Selamat jalan. Semoga apa yang telah enta mulakan, diteruskan dengan konsisten. Diharapkan ikhwah yang mengganti ana akan terus me’muntalaq’kan enta dengan lebih baik."
"Insya Allah."
Tempoh yang cukup pendek sebenarnya, tapi sangat signifikan buat diriku. Banyak ‘muntalaq’ - kick-off untuk larianku yang kini bernafas baru. Dengan hayunan lebih bertenaga, konsisten dan energetik. Semoga larian ini terus konsisten sehinggalah ajal menjemputku (semoga kemenangan "husnul khotimah" yang diraih, insya Allah), dan akan kuserahkan batonku kepada pelumba seterusnya.
Yang sebenarnya..
Larian dakwah kita ini sangat panjang. Kita tak tahu berapa jauh lagi jarak yang perlu ditamatkan, sedang garis mula larian sudah jauh kita tinggalkan. Tidak mungkin sekali untuk kita berpatah balik atau berhenti. Baton sudah di tangan kita. Sama ada hendak lari terus ke hadapan atau berehat dan bersenang lenang di perhentian. Jika kita memilih untuk berhenti, jadilah kita golongan yang futur, (futur dari segi bahasa bermaksud lembik setelah keras) kumpulan yang tercicir dari landasan, gerabak perjuangan.
Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa
Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba.. [1]
Glosari entry ini :
Muntalaq = nama buku tulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid. Diterjemahkan sebagai "Langkah Bermula" (versi Bahasa Melayu) dan "Titik Tolak" (versi Bahasa Indonesia).
[1] Nasyid ‘Tak Seindah Sentuhan Mata’. The Zikr.
Notakaki : Tulisan ini ditulis pada November 2010, tapi lewat dimuatnaik, dan insya Allah akan ada sambungannya. (Tapi tak janji akan diupdate segera)
~ Titik Tolaknya, (ialah) Langkah Pertama ~
Listening to : Ghayyir Ilat Tamkin (Untuk Sebuah Perubahan) - Fathul Jihad
Reading : Ana Muslim no 60
Mood : In Dilemma