Showing posts with label Ikhwah. Show all posts

3-4-3, Usaha Keras dan Mencapai Kemenangan

Antonio Conte.

Pengurus Chelsea yang masih di musim pertama di Liga Inggeris. Seorang yang tenang, fokus dan mempunyai passion/keghairahan yang tinggi terhadap bola sepak.

Gambar diambil dari Telegraph/Google

Seorang jeneral yang sentiasa punya motivasi tinggi dan mampu meniupkan hamaasah (semangat, spirit) yang tinggi kepada perajuri-perajuritnya.

Bermula baik dengan 3 kemenangan liga sebelum 'terduduk' sejenak dengan satu seri menentang Swansea dan dua kekalahan kepada pencabar terdekat (ketika itu) iaitu Liverpool (tewas 1-2) dan Arsenal (tewas 0-3).

Kemudian, bermulanya eksperimen 3-4-3 sejak separuh masa kedua ketika tewas 0-3 kepada Arsenal ternyata melonjakkan Chelsea dari tangga ke-8 menuju ke persada liga.

13 kemenangan berturut-turut dalam satu musim yang menyamai rekod Arsenal beberapa belas tahun yang lalu berjaya dicatat sebelum dihentikan oleh Tottenham.

Hasil revolusi 3-4-3 Chelsea oleh Antonio Conte akhirnya menyebabkan beberapa pasukan mengubah formasi ketika menentang Chelsea kerana melihat kemampuan unit pasukan dalam 3-4-3 ini memanipulasi pihak lawan sama ada ketika mendominasi perlawanan atau ketika bertahan dan serang balas.

Gambar dari thefutballreview


Namun, tidak ada formasi yang sempurna. Beberapa pasukan telah berjaya menembusi Chelsea dan menyebabkan Antonio Conte mengubah taktikal atau formasi ketika perlawanan berlangsung.

Dari 3-4-3, perlawanan boleh berubah dengan kemasukan seorang midfield lagi menjadikan 3-5-2, atau mengubah bentuk dari 3-4-3 kepada 4-2-3-1 atau 4-2-4.

Fleksibel. Fluid.

Inilah sikap yang harus ada pada seorang penyeru dan juga pemimpin. Juga jiwa seorang 'pemenang'.

Berusaha sehingga kehabisan ikhtiar. Bekerja keras sehingga kemenangan dikecapi. Sentiasa mempertingkatkan diri dan mencabar diri untuk menjadi lebih baik.

Kemenangan itu akan tiba. Konsisten sehingga garis penamat!

Eh, Ada Ke Patut?

Masa bergerak begitu pantas rasanya.

Persediaan menjadi kepimpinan harus bermula!

Err.. Bukan ana, bagi kat ikhwah yg qowiy2 lah.

FB


Mimpi Semalam, Realiti Hari Ini

Mimpi hari ini, kenyataan hari esok.

Atau lebih sesuai begini :

"Cita-cita hari ini, kenyataan hari esok"?

Hari ini adalah perjuangan,
esok adalah pengharapan,
dan lusa adalah kemenangan.

Ps : ikhwah yg pergi Program Mus'ab anjuran WAMY tahun 2012 di UIA konfem baca berdengung kt yg hujung nya huruf N kan?

FB


Kurelakan Dikau Pergi

Walau baru mengenalimu hanya dalam batas waktu yang singkat, tapi aku sangat merasa senang denganmu. Banyak kenangan yang kita hadapi dan harungi bersama yang menjadi kenangan buatku. Kau antara ikhwah yang senang 'masuk' dan kita kerap bergurau serta mempunyai 'interest' yang sama : Media Kreatif.


30 Mei 2008, ya itulah tarikh hari pertama ku mengenalimu, ketika Mukhayyam KRJ (Kelab Remaja JIM) bertempat di Lata Celak. Kita sama-sama menjadi fasilitator untuk program itu. Tidak banyak kenangan ketika 2008. Namun ada entry mengenainya di dalam blog ini.


2009, Rehlah ikhwah IPDA dan UUM. Oh, seronok juga kan bermain bola di atas padang 'pasir dan batu'!


MIZU 2009, Mukhayyam Intensif Siswa-siswi Islah Zon Utara. Kita sama-sama menjadi peserta, dan dikau banyak membantuku untuk unit media. Bantuan yang kau hulurkan sangat-sangat mengurangkan kepayahanku.


 2009, Mukh de Syarif. Maaf, aku kurang ingat peristiwa yang signifikan.



2010, MISI (Mukhayyam Intensif Siswa-siswi Islah). Kali ini kita kurang bersama kerana jumlah peserta yang ramai dan kerana aku pun tidak ditugaskan untuk unit media kecuali ketika saat-saat akhir program. Tahun ini aku berpindah sebentar dari lokaliti Kedah dan mengurangkan lagi tempoh kita bersama. Tapi setiap kali aku ke sana, pasti aku meminta pertolonganmu untuk mengambil dan menghantarkanku ke stesen bas. Ketika aku bekerja sementara di Sekolah Al-Azhar juga, kita kerap bertemu dan bermain futsal bersama ikhwah-ikhwah zon utara.


2011, jarak yang memisahkan antara faktor 'menjauhkan' kita.

2012, kali terakhir berjumpa denganmu ialah ketika Roadshow JKP IKRAM di Pusat Pendidikan Al-Islah. Dikongsikan video tazkirah sebelum talqinmu, akh Hatim.


Terima kasih kerana menemaniku selama ini. Aku menjadi saksi terhadap amalmu kepadaku. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran.

Tunggu kami, kami akan menyusuri!



Sumber lain tentang Hatim : sini

~ Mati Itu Pasti ~
Listening to : In-Team - Detik Kematian
Reading : Entry lama blog kahfi8 
Watching : Tazkirah Sebelum Talqin [Hatim Jeffri]
Mood : Mendung

Tahsini Quran Anda!

Sentiasa tahsin pembacaan Al-Qur'an anda!

Daurah Tahsin Al-Quran semalam, memang banyak yang boleh dikutip..

Pasni, 'rempit' tilawah tu jgn nak laju2 lagi.. ^^

FB


Tsabat Hingga Ke Akhirnya!

Rindu.

Hati ini selalu meruntun-runtun, mahu bertemu dan sentiasa bersama-sama dengan mereka yang di jalan ini.

Sepanjang masa. Mahu berada dekat dengan mereka.

Apabila rindu sudah membuak-buak, maka kepada Allah jualah sahaja tempat untukku mengadu. Itulah cinta. Jika sudah cinta, sentiasa mahu berada di sisi yang tersayang, bukan?

Kau mendail di telefon bimbit. Tertera nama Dia.

“Assalaamu’alaikum,” sapa Kau, memulakan bicara.

“Wa’alaikumussalaam,” jawab Dia.

Jeda. Terdengar sedikit esakan.

“Sihatkah? Mengapa menangis?” Dia bertanya apabila Kau tidak berkata apa-apa.

“Alhamdulillah. Fizikal baik-baik sahaja. Tapi kondisi iman tidak semantap kalian,” sedih bunyinya.

“Haha, makanya mestikah kami di sini mampu setabah kau jika dicampak ke tempat yang asing?” soal Dia.

Ya, perlu sedar, ada masanya, Allah telah campakkan ke tempat lain, yang masih gersang. Kekurangan penggerak.

Ketika sudah selesa dengan sekeliling.

Ramai ikhwah dan akhawat di situ.
Dakwah sedang mekar di situ.
Dakwah juga sedang melaju di situ.

Kerana dakwah, harus terus maju ke hadapan. Kerana dakwah juga, tidak harus terbuai-buai dengan kesenangan.

Kesenangan? Ya, apabila dakwah itu dirasai sudah semakin melaju dan seakan-akan tiadanya sekatan. Ia semakin diterima, dan seolah-olah lorong-lorong di hadapan membuka ruang untuk dakwah, tanpa diminta.

“Mengapakah Allah tidak campakkan sahaja kalian yang lebih hebat ke sini? Lihatlah bagaimana prestasi aku di sana. Masih banyak ketirisan meskipun sudah ada ramai ikhwah di sekeliling. Bayangkan apabila aku keseorangan?” Kau bertanya, tidak puas hati dengan jawapan yang diberi.

“Tidak, tidak saudaraku. Tidak semestinya,” pujuk Dia.
Tapi, perlu sedar juga, dakwah ini harus dirasai oleh semua. Kerana itulah, jika dicampakkan ke mana sekalipun, harus tabah. Harus kuat. Bukan larut dengan sekeliling. Kerana kau ada sesuatu yang mereka tidak punya!

Tarbiah.

Hatta kita berlainan dimensi sekalipun, kita tak seharusnya melencong dari jalan ini! Kerana...

Aqidah dan fikrah yang sama telah menyatukan KITA!!


Ikhwaan fillaah, moga kalian tetap tsabat dan tegar di jalan ini, walau apa jua rintangan yang melanda. Moga kita bertemu lagi. Jika tidak di dunia, di syurgaNya nanti. TaqobbalAllahu minkum!

Tidaklah ukhuwwah, jika bukan kerana Allah jua. Walau di mana bumi dipijak, tautan hati tetap pada yang sama-sama di jalan ini.


Ikhwah, semoga kalian tetap tsabat, saat kita bertemu sekali lagi. Nanti.

Doakan diriku juga begitu. Sesungguhnya aku mencintai dan merindui antum!

~ Ukhuwwah Teras Kegemilangan ~

Listening to : Al-Mulk
Reading : Nota Grafik
Watching : Final project
Mood : Perlukan sokongan dan kata-kata semangat

Pangkalnya Jauh, Hujungnya Belum Tiba


Peringatan : entry ini mengandungi maksud-maksud yang tersirat. Sila patuhi papan tanda sepanjang perjalanan. Jika keliru, sila rujuk ikhwah atau akhawat yang memahaminya, dan jangan membuat tafsiran sendiri secara melulu.

Khusus buat diriku yang masih bertatih di jalan penuh ranjau. Jalan yang garis mulanya sudah jauh ditinggalkan, namun titik penghujungnya masih belum kunjung tiba. Baton ‘larian’ perjuangan sudah bertukar tangan entah berapa kali, tidak pasti.

Aku, yang masih hingusan, mula menyambut baton itu kira-kira dua tahun yang lepas. Namun, aku hanya berlari, tanpa memahami matlamat perlumbaan ini. Juga tanpa memahami prioriti-prioriti di sepanjang larian. Kerap kali aku berlari mengikut kehendak hatiku. Sekali sekala aku singgah di mana-mana perhentian bagi melepaskan lelah, namun menyambung semula dengan pecutan yang deras. Akibatnya, aku akan ‘pancit’ sebentar dan terpaksa berjalan sahaja. Sehingga tenagaku pulih, aku akan memecut kembali.


Mei 2010

"Akhi, enta lari macam tu ke? Tak efektif la macam tu. Sebab tu enta cepat penat. Enta ingat jarak larian kita ni dekat ke?"

Gulp!
Betul juga. Tidak pernah aku fikirkan sebelum ini.

"Habis, ana nak buat macam mana?"

"Mari kita lari sama-sama. Ana akan lari bersama enta."

Baru ku tahu. Banyak sekali kesilapanku dalam larian sebelum ini. Dek kerana tidak sabar mencapai garis penamat, aku membazirkan tenaga secara membabi buta. Menyangkakan di depan ialah garis penamat, tapi ia hanyalah fatamorgana sebenarnya. Seperti pengembara di padang pasir yang kehabisan air, terlihat seperti ada lopak air jauh di hadapannya, namun tiada apa-apa, kerana itulah ilusi di padang pasir ketika panas terik memancar ke bumi.

Sebenarnya, graf larian aku sangat merosot sekitar April 2010. Dan pernah terlintas di fikiranku untuk berhenti dan ‘mengambil angin’ di perhentian yang nampaknya sungguh menggiurkan. Penuh keseronokan dan kesenangan. Mungkin juga, tidak salah jika aku terus berhenti dan bermastautin di situ?

Astaghfirullah.

Mujurlah aku tidak berbuat begitu. Alhamdulillah, ada tangan yang ingin menghulur bantuan, memberi ‘kasih sayang’ ukhuwwah fillah untuk aku kembali berlari, kali ini dengan lebih efektif, dan yang penting sekali, jelas dan faham matlamat larian serta apa yang perlu kufokuskan.


Jun 2010

"Akhi, esok kita tambah sikit kelajuan kita ya?"

"Insya Allah."

Hari ini aku cuba menambahkan kelajuanku, tapi nampaknya aku menjadi cepat penat pula.

"Eh, akhi, apa enta bawak ni? Kenapa bawak sekali? Beratlah."

"Saje-saje bawak. Kalau rehat, boleh kita berhibur dengannya."

"Akhi, perjalanan kita jauh dan penuh halangan. Tapi, kadang-kadang kita membawa beban yang tidak wajar dibawa. Sebab itulah kita cepat penat. Di depan kita, laluan semakin cerun, semakin sukar dan menguji ketahanan mental kita."

"Macam tu ke? Baik, ana buang sekarang juga."

Esok.

"Alhamdulillah, hari ini enta berjaya menambah kelajuan larian tapi tidak pula penat dengan cepat."

"Baarokallaahu laka wa lii, semuanya atas bantuan enta."

Laluan larian semakin curam. Mujurlah ikhwah yang bersamaku itu memberi pesanan supaya aku membuang beban yang tidak wajar kubawa, agar larianku lebih pantas dan mudah. Kerana beban yang berat akan melembapkan larian, dan cepat meletihkan dalam perjalananku. Bukanlah salah membawa bebanan yang berat, tapi jika membawa sebarang keperluan yang tidak perlu, tidakkah ia akan menjadi bebanan yang sangat membebankan?


Penghujung Julai 2010

"Ana hendak berlari bersama ikhwah yang lain. Boleh tak?"

"Selamat jalan. Semoga apa yang telah enta mulakan, diteruskan dengan konsisten. Diharapkan ikhwah yang mengganti ana akan terus me’muntalaq’kan enta dengan lebih baik."

"Insya Allah."

Tempoh yang cukup pendek sebenarnya, tapi sangat signifikan buat diriku. Banyak ‘muntalaq’ - kick-off untuk larianku yang kini bernafas baru. Dengan hayunan lebih bertenaga, konsisten dan energetik. Semoga larian ini terus konsisten sehinggalah ajal menjemputku (semoga kemenangan "husnul khotimah" yang diraih, insya Allah), dan akan kuserahkan batonku kepada pelumba seterusnya.


Yang sebenarnya..

Larian dakwah kita ini sangat panjang. Kita tak tahu berapa jauh lagi jarak yang perlu ditamatkan, sedang garis mula larian sudah jauh kita tinggalkan. Tidak mungkin sekali untuk kita berpatah balik atau berhenti. Baton sudah di tangan kita. Sama ada hendak lari terus ke hadapan atau berehat dan bersenang lenang di perhentian. Jika kita memilih untuk berhenti, jadilah kita golongan yang futur, (futur dari segi bahasa bermaksud lembik setelah keras) kumpulan yang tercicir dari landasan, gerabak perjuangan.

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba.. [1]

Glosari entry ini :

Muntalaq = nama buku tulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid. Diterjemahkan sebagai "Langkah Bermula" (versi Bahasa Melayu) dan "Titik Tolak" (versi Bahasa Indonesia).

[1] Nasyid ‘Tak Seindah Sentuhan Mata’. The Zikr.

Notakaki : Tulisan ini ditulis pada November 2010, tapi lewat dimuatnaik, dan insya Allah akan ada sambungannya. (Tapi tak janji akan diupdate segera)

~ Titik Tolaknya, (ialah) Langkah Pertama ~

Listening to : Ghayyir Ilat Tamkin (Untuk Sebuah Perubahan) - Fathul Jihad
Reading : Ana Muslim no 60
Mood : In Dilemma

Jelas Tapi Kabur

Baru pulang dari perhimpunan tahunan sebuah badan dakwah mahasiswa di Malaysia, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia atau akronimnya 'KARISMA'. KARISMA ialah sayap kepada sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) iaitu Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Perhimpunan ini mengumpulkan sebahagian besar da'ie yang menyertai halaqah di bawah KARISMA di sebahagian besar institut pengajian tinggi di Malaysia. Perhimpunan itu ialah 'PERHIMPUNAN KARISMA NASIONAL 2010' atau PKN'10. Tema PKN'10 ialah Menggarap Perubahan, Memperkukuh Kesatuan.

Alhamdulillah, aku dapat berjumpa dengan ramai pimpinan dan da'ie muda KARISMA yang menggerakkan dakwah di pelbagai lokaliti seluruh negara. Sangat menggugah jiwa! Ucapan dasar oleh presiden kami, Abdullah Omar membakar semangat kami untuk terus bekerja demi kemenangan dakwah dan Islam. Dari isu Palestin, gejala sosial, ekonomi, politik sehinggalah kepada isu yang tidak dilupakan mengenai Rancangan Dakwah KARISMA atau lebih dikenali sebagai FIDAK2015 (Fikrah Islam Dominan Alam Kampus 2015), satu gagasan yang menerangkan strategi dan plan tindakan dalam mencapai kemenangan dakwah di kampus menjelang 2015. Persoalan yang paling ditunggu-tunggu pastinya tentang status KARISMA selepas Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ditubuhkan pada pertengahan 2010 yang turut dianggotai oleh JIM.

Inilah kali pertama aku menjadi pemerhati! PKN'08 aku menjadi AJK, manakala PKN'09 sebagai perwakilan (tapi tidak menjadi pembahas). Tahun ini memaparkan kelainan apabila hanya perwakilan dari KARISMA negeri atau daerah sahaja yang wajib membahas, manakala perwakilan dari IPT boleh membahas jika mereka mahu (sunat je la).

Kami dari Perak dibarisi oleh 11 orang ikhwah dan 13 akhawat telah diwakili oleh akh Megat sebagai pembahas. Perbahasannya sangat membakar semangat sehinggakan perbahasannya disambut dengan laungan penuh semangat dari semua hadirin!

Sebelum perletakan jawatan KARISMA Nasional, beberapa penerangan telah disampaikan oleh JK KNL sendiri tentang isu-isu yang banyak menimbulkan tanda tanya dari semua ahli KARISMA. Ya, seperti kata-kata Hassan Al-Banna, dakwah kita ini cerah secerah mentari. Jelas semuanya. Tapi sekarang, ada kekaburan tentang status akan datang KARISMA. Apa yang pastinya, gerakan mahasiswa yang baru di bawah IKRAM kelak akan menyaksikan satu gerakan dakwah mahasiswa yang lebih massa dan berusaha memenangkan dakwah di kampus seterusnya menjayakan misi dakwah IKRAM iaitu memenangkan dakwah di Malaysia seterusnya di seluruh dunia. Dan pengalaman 11 tahun KARISMA di medan dan pengurusan operasi pastinya tidak sepatutnya dipersiakan begitu sahaja!

Alhamdulillah, akh Khairul Fadhli dan ukhti Nur Idayu telah dilantik untuk mengetuai barisan KNL 2011 yang dibarisi oleh lapan orang lagi AJK. Semoga amanah yang digalas mampu ditunaikan. Terus menderu memacu kemenangan, biarpun tidak menjadi sang pemenang, kerana kemenangan yang hakiki itu milikNya, dan dapat diraih apabila telah cukup syarat-syaratnya.



~ Raih Kemenangan Tanpa Perlu Jadi Pemenang ~

Listening to : Ukhuwwah Teras Kegemilangan (Saff-One)
Reading : Himpunan Risalah Hassan Al-Banna
Mood : Berkobar-kobar

Tackle Yang Tarbawi

Di sebuah restoran, selepas program katibah di Seri Iskandar, sekitar jam 1430.

“Cit cit cit... ,“ Megat memanggil seekor kucing yang sedang khusyuk (sambil buat muka comel) memerhatikan ikhwah yang sedang makan tengahari.

“ Meow...” kucing yang comel lagi gebu itu datang menggedik apabila dipanggil.

“Jangan lupa baca bismillah tau!” kata Megat sambil memberikan sedikit bahagian daging ayam kepada kucing tersebut.

Selepas beberapa ketika, kucing itu sudah pun menghabiskan makanan yang diberikan kepadanya.

“Meoww.... Meowwww...” kucing yang gedik itu mengiau lagi, sambil menjilat-jilat jarinya. (Jari ke kaki?)

“Alamak, lauk dah habis la kucing oii...” Megat menjawab ‘permintaan’ kucing itu dengan kehampaan.

“Megat, enta patutnya cakap ‘dah takde apa-apa nak bagi kat kau la kucing, yang ada hanya Allah dan RasulNya’... Hehe.. “ Mad berjenaka.

“Wuii... Ana takde la sampai camtu lagi. Baru bagi tak sampai 0.1% je dari harta ana..” Megat merendah diri.

“Kalau camtu, enta kena infaq banyak-banyak lagi la..” Afiq mencelah.

Izzudin yang kasihan akan kucing tadi yang terus mengiau, memberikan kepala ikan yang tersisa dari makanan tengaharinya.

“Haiii... Din??” Megat tiba-tiba bersuara kembali.

“Kenapa?”

“Berani enta rampas..”

“Rampas apa ni? Tak faham ana..” Din terpinga-pinga.

“Enta rampas mad’u dia..” Mad mencelah.

“Ohh.. Ye ke? Tapi enta tak letak apa-apa tanda pun. Mana la ana tau..” Din membela diri.

“Ana tackle dia dulu kot. Enta senang-senang je nak nak potong line..” Megat buat muka.

“Alah, enta belum usrahkan dia lagi kan? Belum confirm dapat lagi..”

“Ana dah belanje makan tu.. Dalam proses la.. Adoyai..”

“Takpe-takpe, banyak lagi mad’u lain enta boleh tackle,” Din berdiplomasi.

“Mana boleh.. Ana tackle dulu, ana la yang bawak usrah untuk dia..” Megat sengaja mencetuskan kontroversi.

“Isk.. Sudah-sudahlah..! Pasal mad’u pun boleh jadi perselisihan ke?” Mad mengendurkan suasana.

“Megat mula dulu..” Din berhujah untuk melepaskan diri dari dipersalahkan.

“Enta pun same je Din. Tu baru kucing sebagai mad’u. Belum manusia lagi. Kita nak tackle bukan robot. Hanya programkan je, lepas tu jalan. Antum tak boleh fikir, lepas jumpa sekali dua, lepas tu ajak usrah, and then kita harap diorang akan bekerja bersama kita untuk berdakwah. Tak semudah itu..” tegas Mad lagi.

“Dakwah tidak dihamparkan dengan permaidani merah... Tapi kita mewarnai jalan dakwah ini dengan merahnya darah-darah kita...” Afiq mencelah.

Kesemua terdiam. Berfikir. Angin bertiup sepoi-sepoi lembut, menyapa muka-muka ikhwah yang masih lagi di meja luar restoran.

“Sebut pasal robot. Ana teringat bila pagi-pagi masa duduk kat Shah Alam dulu..” Basyir yang terdiam dari tadi bersuara.

“Citer sket. Cam menarik je..” Afiq meminta.

“Takde ape yang menarik sangat. Cuma nak pergi masjid time Subuh, kena lintas jalan dari flat yang kami duduki. On the way tu nampak la ramai orang tengah tunggu bas. Ada pakai baju pekerja kilang, ada baju sekolah, ada baju formal pejabat.”

“Then? Apa yang robotnya? Orang kerja kilang tu buat robot?” Din bertanya sambil berjenaka.

“Bukanlah. Tak habis lagi cakap ni.”

“Tu la, tunggu la orang habis cerita. Tau la trigger sangat..” Megat memerli. Din buat muka selamba.

“Ana nampak kitaran robot. Kitaran yang berulang. Setiap hari.” Basyir terdiam seketika sebelum menyambung. Semua menunggu sambungan cerita.

“Bila maghrib, ana akan terserempak lagi dengan mereka ini yang turun dari bas. Dan bila hujung minggu, boleh nampak pula mereka menunggu bas untuk ke bandar.”

“Berulang-ulang. Repetisi,” celah Mad.

“Betul tu. Tengok seperti robot di kilang-kilang yang telah diprogramkan. Mengulang kitaran hidup yang sama setiap hari. Kalau enta, tak bosankah?” Basyir menimbulkan persoalan.

“Hmm.. Jadi? Nak buat camne?” Megat bertanya lagi.

“Kita manusia, dikurniakan akal dan hati. Kita ada emosi. Dan, kita jangan lupa. Robot ada pencipta. Dan pencipta itu mesti mahukan ciptaannya berbuat selari mengikut kehendaknya, kan?” Basyir bertanya lagi.

“Maksudnya, manusia pun diprogramkan ke? Ke, camne? Hehe.. Blur,” Mad bertanya.

“Oh, takde la manusia ni diprogramkan. Tapi, kita kan ada pencipta, iaitu Allah. Dan Allah sudah setkan matlamat penciptaan, misi bagi manusia dicipta. Antum semua dah tahu kan?”

“Ubudiah dan khalifah. Pengabdian padaNya dan memakmurkan muka bumiNya dengan pengabdian padaNya,” Afiq membantu untuk menjawab.

“Benar sekali. Dan ramai manusia melupakan misi yang sudah Allah tetapkan ini. Padahal semuanya telah tercatat dalam manual kehidupan kita, Al-Qur’an. Dan cuba bayangkan kalau robot yang diprogramkan tidak menepati misi yang ditetapkan penciptanya, tentulah penciptanya marah bukan? Macam tu lah juga manusia. Apabila sudah sampai tiba untuk kembali padaNya, kita akan dihisab, untuk direview prestasi kita sepanjang tempoh perkhidmatan kita di dunia. Adakah menepati misi yang telah ditetapkan? Atau hanya membuang masa? Sekadar menjadi penambah kuantiti sahaja. Tidak bererti, seperti tin kosong?”

“Sebab tu la, kita perlukan tarbiah. Untuk mengenali siapa kita. Mengetahui apa misi kita. Dan melaksanakan misi tersebut. Jika tidak, sia-sia sahajalah kehidupan kita ini,” Mad menambah.

“Dan, atas rasa tanggungjawab pada manusia yang lain, kita juga berdakwah untuk mengembalikan manusia pada landasan misi pertama tadi, ubudiyyah...” Megat memberi kesimpulan.

“Ha, pasal mad’u tadi! Terlajak pulak. Ana teringat kalau dalam bola sepak. Kalau antum main bola sepak, dan ada seorang forward yang agak handal dari opponent team. Jika antum jadi defend, adakah seorang je yang nak ‘marking’ dia? Atau ada teammate yang nak bantu?” Afiq menimbulkan persoalan.

“Mesti lah ada seorang lagi yang bantu. Kalau forward tu terer mendribble, lagi la kena marking selalu,” Din menjawab.

“Macam tu la dakwah. Kadang-kadang tak cukup seorang da’i yang menDF (Dakwah Fardiah) mad’u. So, sepatutnya tak timbul la kan isu perebutan mad’u. Sebab kalau sorang ikhwah tengah DF sorang mamat ni, dia kena ajak ikhwah lain, terutamanya usrahmate dia untuk DF mamat ni sama-sama. Itulah muafakat. Dakwah ini tidaklah individualistik, tapi jama’i. Memang lah disebut dakwah fardiah, individu. Tapi individu pada sasaran. Kita menyasarkan pada sasaran yang kecil. Tapi, insya Allah, ia lebih berkesan kerana lebih fokus. Ingat lagi dalam fizik? Sasaran kena konsisten dan menghampiri sasaran. Bukan berselerak, bukan juga jauh pada sasaran, meskipun konsisten.”

“So, pilihlah, sorang tackle sorang, atau ramai tackle sorang?” Basyir mencelah sambil tersengih.

“Sebut pasal bola, dah lama kita tak riadah ni. Nak main apa pulak next riadah?” Din bertanya.

“Kita main paintball plak, amacam? Kata nak berjihad. Ikhwah kena la lasak sket..” Mad memberikan cadangan.

“OK, set!” semua bersetuju.

“Hari ini ana belanja. Ana nak naikkan sket peratusan infaq ana. Antum kan buat kerja untuk Islam, so kira infaq la..” Megat menawarkan diri.

“Alaa.. Kalau tau awal, ana amik banyak lauk dah tadi!” Din buat muka terkilan.

“Hahaha...”

Mahu tackle satu sama satu?

Atau ramai sama satu?

~ Dakwah Forever, and Ever ~

Sebu

“Erm, sedapnya kek ni!” kata Din.

“Yela, tapi sikit la plak. Kalau banyak, kan best!” balas Mad pula.

“Eeerrkk. Alhamdulillah..” ujar Megat sambil bersendawa.

“Ana pernah dapat hadiah kek ni. Lepas tu ana makan banyak-banyak.” Tambah Afiq.

“Bestnye! Kalau la ana dapat jugak..” Mad mencelah dengan girangnya.

“Hm, tak jugak..” Afiq bersuara kembali.

“Kenapa pulak? Mesti la best kan? Dah la sedap. Dapat makan banyak-banyak pulak.” Mad bertanya kembali.

“Sebu.” Afiq menjawab.

“Sebu?” semua tertanya-tanya.

“Pernah tak antum makan makanan yang antum suka banyak-banyak?”

“Pernah sekali.” Mad menjawab.

“Apa yang enta rasa lepas tu?”

“Huuu.. Tak larat dah. Lepas tu cam hilang selera nak makan benda tu untuk beberapa minggu kot.”

“Haa.. Tahu pun. Camtu gak macam semalam, enta pulun tilawah banyak-banyak. Tapi hari ni suara pun dah serak, lepas tu malas dah pulak kan?”

“Hehee..”

“Nafsu manusia ada hadnya. Sebab tu, dalam sesuatu perkara, jangan dibuat berlebih-lebihan. Nanti datang rasa jemu. Begitu juga dalam ibadah.”

“Dalam ibadah pun camtu?”

“A’ah. Pernah dengar kisah sahabat Rasulullah yang nak puasa tak nak berbuka?”

“Pernah.”

“Camtu la kita dalam beribadah. Ada masa kita ibadah, tapi tanpa berlebih-lebihan sehingga menyebabkan badan kita exhausted. Lepas tu, muncul pulak rasa kemalasan. Sebabnya, dah buat banyak-banyak sebelum ni. Yang sebenarnya, sepatutnya buat walaupun sedikit, tapi berterusan.”

“Macam dalam sukan, untuk menaikkan fitness seseorang, bukan boleh secara mendadak. Hari ni berlari pusing padang 10 pusingan, esok pusing 20 pusingan terus. Badan kita tak boleh ‘catch-up’. Kalau hendak tingkatkan pun, biar lah bertahap. Hari ini 10 pusingan, lusa baru tambah jadi 11 pusingan. Minggu depan baru tambah pula jadi 12 pusingan.” Tambah Din yang sememangnya sentiasa menjaga kecergasan dan tahap fitnessnya dengan berjoging.

“Hmm, betul kata Din tu. Kalau dalam dakwah pulak, tidak boleh pulak terlampau menumpukan pada tarbiah sahaja, tanpa melakukan aktivisme. Tetapi juga, tak boleh hanya tumpu aktivisme, sehingga mengabaikan tarbiah. Kedua-duanya perlu seiring. Tawaazun.”

“Tawaazun?” Mad terpinga-pinga mendengar istilah yang tidak pernah didengarinya sebelum ini.

“Megat, cerita sikit.” Afiq meminta.

“Seimbang.”

“Seimbang?”

“Seimbang dalam dakwah. Namun seimbang bukanlah pada kuantitinya. Tapi seimbang pada tahap keperluan. Kalau orang tu masih baru, digalakkan untuk tumpukan pada tarbiahnya. Namun, bukan tarbiah pada teori sahaja tau. Tarbiah juga pada amal. Dan kemudiannya baru lah kita menggalakkan untuk mengaplikasikan amal tersebut dengan lebih tersusun melalui aktivisme.”

Adakah seimbang maksudnya mesti sama?
“Oh, cam tu. Baru ana teringat. Dulu zaman Rasulullah, Abu Dzar terus je pergi isytiharkan keIslamannya pada penduduk Mekah.”

“Ish, tu bukan aktivismelah!” celah Din.

“Habis tu?”

“Sahabat-sahabat cuba melakukan amal sebaik sahaja mereka mendengarnya. Dan kemudian mereka konsisten dengannya. Cuba bayangkan, jika Al-Qur’an diturunkan sekaligus?”

“Hmm.. Kalau turun sekaligus, pada bulan Ramadhan, konfem la, nak kene puasa, solat, bayar zakat terus.. Mesti macam berat je rasanya..”

“Sebab tu kena ada tadarruj..”

“Tadarruj?” Mad menyampuk lagi.

“Bertahap-tahap. Dalam beramal, pun macam tu. Macam lari pusing padang tadi. Hari ini baca 1 muka surat Al-Qur’an. Esok 2 muka surat pula. Nak kekalkan 2 muka surat sampai minggu depan, lepas tu baru tambah jadi 3 muka surat, terpulanglah. Yang penting, istiqamah. Bukan baca satu juzu’ hari ni, minggu depan baru nak baca lagi.” Afiq menjelaskan.

“Dan satu lagi, tentang tawaazun tadi. Kalau tarbiah je, maksud ana, nak dapat pengisian tarbiah aje, nak program berbentuk ruhiah je, tapi takde aktivisme, sudah tentu kita tak hadapi masalah. Bila kita berkomunikasi dengan masyarakat melalui aktivisme, kita akan mengenali masalah, dan cuba mencari jalan penyelesaiannya. Dan, tarbiah kita bukan menuntut amal untuk diri, tapi juga untuk masyarakat. Sebab tu adanya aktivisme.” Din menambah.

“Tapi juga, tak boleh hanya aktivisme sahaja tanpa tarbiah. Lama-lama, akan jadi exhausted. Ibaratkan kereta yang tidak diganti minyak pelincir (minyak hitam) nya. Sudah tentu lama kelamaan, kereta itu akan menghadapi masalah dan tidak boleh bergerak. Begitulah manusia. Jika aktivisme sahaja, tanpa tarbiah, akhirnya sampai satu masa, dia akan ‘burn out’, keletihan, dan akhirnya mungkin futur atau putus asa dengan dakwah.” Megat menerangkan dengan panjang lebar.

Bermain dan belajar. Tarbiah dan aktivisme.
“Semoga enta dapat faham sedikit sebanyak penerangan dari kami yang tak seberapa ni. Ingat ya, balancekan aktivisme dan tarbiah. Kalau terlebih fokus aktivisme, cepat semput. Terlebih fokus tarbiah, enta akan jadi kakak tua, hanya tau teori, tapi tak manifestasikan dalam amal. Dalam sirah, setiap sahabat yang ditarbiah akan terus berada di medan melaksanakan amal, mengikut kapasiti masing-masing. Amal aktivisme jugalah yang memacu agar tarbiah itu tidaklah nampak ideal, tapi realiti.” Afiq mengakhiri penerangan.

“OK, jomlah, dah nak Isya’ ni. Mari kita bersiap ke surau.”

“Ana sakit perut plak. Antum gerak dulu ya.”

“Itulah, tadi baru lepas makan nasi dengan kuih. Lepas tu makan kek pulak.”

“Ye la, lain kali ana kurangkan makan banyak-banyak..”

~ Manifestasikan Tarbiah Dalam Aktivisme ~

Laungan yang Kosong??

Aku bukanlah orang yang layak memperkatakan hal ini.

Seingat aku, pernah kudengar dari seorang ikhwah yang berkata,
"ana tak percaya kat antum,
selagi antum tak kahwin,
bekerja dan mempunyai anak."
Ya, sekarang ini, ujian dan cubaan yang mendatang amatlah sedikit. Ujian sebenar akan dihadapi ketika semua itu (yang di'bold'kan di atas) sudah dilalui. Waktu ini, kita mungkin masih boleh bertahan. Tapi waktu itu, kadang-kadang boleh tergelincir juga ke lembah ke'futur'an. (istilah baru hehe)

Mendengar sesuatu yang nampak hebat dan besar, bukan untuk mendatangkan rasa gerun atau takut di dalam hati, tetapi untuk menambahkan intensiti (kemahuan) untuk mempertingkatkan diri. Justeru itu, tika inilah saat untuk kita mula bersedia. Maka, persiapkanlah dengan sentiasa rela untuk berkorban apa jua. Harta, masa dan tenaga. Hatta jiwa sekali pun.

Bukan hanya slogan-slogan yang terpampang di status fb, di entry blog atau di YM sekali pun. Ingin aku peringatkan, kita ini golongan yang beramal. Justeru, sinergikan amal itu seiring dengan kata-kata kita. Terjemahkan ucapan dan slogan-slogan yang kita lemparkan itu menjadi tindakan di medan amal dengan penuh ikhlas. Ingatkah kamu ayat kedua dan ketiga surah As-Soff??
"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah
kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu
kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah
bahawa kamu mengatakan apa-apa
yang tidak kamu kerjakan."
Dan kamu yang masih duduk memerhati,
janganlah masih menunggu! Barisan ini tidak menunggu mereka yang masih berehat-rehat. Jangan dikau kesalkan apabila barisan ini sudah berangkat, tika itu baru kamu mahu terhegeh-hegeh membuat persiapan. Atau menunggu apabila kemenangan itu hampir tiba dan pasti, baru kamu mahu menyertai. Sungguh besar selagi kerugian yang kamu alami.

Seterusnya, kamu yang masih lalai dan leka!
Buangkan sifat keanak-anakanmu! Sesungguhnya musuh Islam telah lama membelenggu pemikiranmu, hingga kamu yang sepatutnya berjiwa singa menjadi seperti kijang yang jinak! Kembalilah bertaubat dan memohon keampunan dariNya yang Maha Pengampun. Sesungguhnya Dia sangat menyukai orang yang bertaubat. Ingat, tiada pilihan lagi bagimu. Jika kamu menolak Islam, bererti kamu memilih selain Islam, dan selain Islam itu, sudah pasti tidak benar dan menjerumuskan kamu ke dalam azab neraka. Na'uzubillaah!

Kalian yang sudah bersama di jalan ini,
kemenangan itu pasti akan tiba. Masanya sahaja yang tidak kita tahu. Teruskan bekerja! Pedulikan bisikan-bisikan yang hanya berdesiran di tepi telinga. Hanya orang yang mempunyai banyak masa lapang sahaja yang sempat mengkritik kerja orang lain.

Dan ingat! Jalan ini tidak mudah. Tidak menawarkan kesenangan, malah kerehatan. Kerehatan kita, hanya di Jannah. Jika kau mahukan kerehatan di dunia, silalah melengahkan diri dari barisan ini. Jika sebaliknya, bersedialah kamu dengan pengorbanan! Jiwa, harta, masa dan tenaga. Hingga kita mencapai kematian paling mulia!

~ Kobarkan Azam, Mencapai Matlamat ~

Ramadhan 1430H

Sedar tak sedar, sudah masuk hari ke 14 Ramadhan. Semoga amalan kita semakin 'laju'. Di sini saya kongsikan beberapa video sempena Ramadhan untuk dijadikan santapan rohani..

7 victories in Ramadhan - haa, tengok! Puasa pun, generasi terdahulu umat Islam berjaya memenangi peperangan.





Perkongsian video dari AMIR (Aspiring Malaysian Rijal) di Jepun. (Sorry ni video 1429H)

Saya Marah!!

Lupakan topik kepupusan tu dulu.



Tengah rasa marah dengan sorang ikhwah nie..

Dah masuk semester kedua dia 'hilang' dari usrah, lepas tu bila perlukan pertolongan, baru nak contact.

Sebelum ni nak contact selalu je tak berjawab. Nak datang bilik, macam-macam alasan diberi.

Yang jadi masalahnya, saya macam 'dendam' pulak dengan dia. Camne nak handle yea? Nak suruh ikhwah lain yang berurusan dengan dia ke..?

Atau..

Kepupusan versi dua

Sudah fikir? Bagaimana?

Dapatkah anda meneka siapa spesis I dan siapa pula spesis A?

Tak mengapa, saya tidak mahu membiarkan persoalan terus bermain di fikiran.

I yang saya maksudkan ialah lelaki manakala A pula ialah perempuan.

Betul, kan?

Mengapa saya berkata begini? Ya, perhatikan saja zaman sekarang. Di mana-mana sahaja, di kampus, di sekolah.. Jumlah perempuan mengatasi lelaki.

Dalam institusi tarbiah?

Begitu juga.



Kalau dalam sistem usrah di kampus tu, lagilah. Akhawatnya pasti lebih 'laju' mencari anak usrah (baca : mad'u) berbanding ikhwah. Sehingga terjadi, ikhwah 'hilang' bila mereka 'grade' tanpa meninggalkan generasi pewaris dalam dakwah di kampus.

Bersambung lagi.. (Idea asal ana dah terhilang sebab banyak kerja lain yang perlu dilakukan..)

Terancam oleh Kepupusan

Tahukah anda, terdapat spesis (kita namakan sebagai I) yang semakin terancam di muka bumi Allah swt ini?

Gambar kredit google


Dari segi hakikatnya, saya merasakan spesis I ini tidaklah terancam dari segi bilangannya (jumlahnya tidak menyusut ke tahap kritikal), tapi spesis ini sepatutnya ber'simbiosis' dengan satu lagi spesis (kita namakan sebagai A) sehingga jika spesis I berkurangan, maka spesis A juga turut terancam.

Apakah sebab-sebab spesis I semakin terancam? Bagaimanakah penyelesaian untuk masalah ini?

Saya tinggalkan sedikit persoalan di sini. Insya Allah, fikir-fikirkan. Bukankah Allah menyarankan kita memerhatikan ayat-ayatNya serta alam ini dan berfikir agar dapat menambahkan keimanan? Huhu.

Bersambung..

Penerusan Tarbiah Junior

Alhamdulillah semalam check e-mel, ada sorang junior daftar sistem halaqoh bawah saya.

Dan siapa sangka, Allah hendak mempertemukan.

Gambar kredit google


Rupanya junior tu ialah junior di matrikulasi saya, Kolej MARA Kuala Nerang (ringkasan - KMKN). Mesej dan tanya bila dia free, lepas abis kelas pagi saya, 'Keusahawanan IT', saya sempat online sekejap di Pusat Komputer(kawasan awam untuk penggunaan wireless). Dalam pukul 11 pagi, kelas dia habis dan kami berjumpa. Saya mengajaknya makan tengahari dan sambil tu sempat berta'aruf lebih mengeratkan ukhuwwah.

Masa tu baru tau dia lepasan KMKN. Alhamdulillah, nampaknya dia berpotensi untuk dimasukkan dalam sistem halaqoh.

Kelas seterusnya pukul 12 tengahari sehingga 2 petang, 'Produksi Video Digital'. Sementara menunggu pensyarah, saya membuka laptop dan memeriksa emel dan blog.

Subhaanallaah. Ada lagi sorang pulak baru daftar. Terus cepat-cepat save nombor hp mad'u kedua ni. Kebetulan satu kolej, insya Allah senang nak jumpa nanti, bisik saya dalam hati.

Lepas solat zohor, saya cuba hubungi dan ajak untuk minum. Dari perbualan saya dengannya, basic agama dia mungkin banyak, yela, SMKA kat utara (dirahsiakan negeri mana). Tapi rupanya dia daftar sebab kawan dia kata wajib, dan lepas dia tanya saya dan tahu yang tidak wajib, mukanya macam menyesal. Erm, rasa macam nak tipu je kata wajib untuk junior, tapi tak baik la kan..

Kebetulan, dia minat bola. Mungkin boleh guna peluang minat yang sama dengan saya untuk memudahkan saya 'menyantuni' mad'u ni. Lagi satu, dia minat pasukan dan pemain yang sama dengan saya (rahsia jugak tak mau bagitau hehe). Yela, setiap mad'u ada karenah masing-masing. Kena pandai ambil hati la. Tak boleh semua guna cara dan approach yang sama. (Macam dalam entry kungfu panda, rujuk sini)

Macam junior saya dari KMKN tu, kebetulan jugak dia minat bola tapi saya tak banyak sembang bola sangat sebab masa di KMKN dah aktif dengan surau. So, saya lebih banyak tanya perkembangan di KMKN dan yang berkaitan.

Oh, ya, halaqoh kami akan berlangsung kira-kira 2.30 petang esok (pukul 2 ada discussion assignment). Nampaknya, kena bersedia dengan cerita-cerita menarik untuk menarik minat mereka. Nak pilih cerita apa ya? Bola sepak ok kot..?

Semoga Allah permudahkan segalanya esok..

Coretan Cuti

Semester baru telah berjalan kira-kira seminggu.

Alhamdulillah, bersyukur kerana masih lagi diberi kesempatan untuk menimba ilmu dan menikmati kehidupan. Insya Allah, semester baru ini, azam saya ialah hendak mempunyai anak sendiri.

Heh?

Ha.. Bukan anak biasa, anak usrah la (atau dipanggil mad'u).. Sebelum ni cuma usrah tumpang je, menjadi co-naqib kepada naqib saya untuk slot usrah junior. Kali ni, saya perlu responsible pulak, 'menyantuni' junior baru (ajak kepada Islam) untuk bersama dalam menegakkan Islam.

Alhamdulillaah, sepanjang cuti yang lepas, tidak berlalu dengan sia-sia. Banyak program yang saya hadiri sehinggakan kawan sekampung tanya ke mana saya pergi. "Tak balik kampung ke?" diorang tanya.

Tamrin Tarbiah Nasional (TiTiaN'09)

Program pertama yang saya hadiri ialah tamrin nuqaba (3 hari) yang banyak memberikan input bagaimana untuk membawa halaqoh, persediaan seorang naqib dan hala tuju dalam tarbiah. Program ini dihadiri oleh siswa dari seluruh Semenanjung Malaysia rasanya, seronok jugak dapat berjumpa kawan-kawan baru. Dari Taylor College, UNITEN, UIAM, USIM, IPPPP, USM, UiTM dan lain-lain (maaf kalau ade yang tertinggal).

Balik ke rumah, sempat pergi ke satu program katibah (qiamullail) dan dapat jugak banyak input-input baru. Antara pengisian yang saya ingat ialah mengenai 'jiddiyyah' iaitu bersungguh-sungguh dalam amal islami. Panjang kalau nak explain, insya Allah lain kali saya bentangkan di blog ini.

Mukhayyam Intensif Siswa Siswi Islah Zon Utara (MIZU) 2009

Hujung bulan Jun, saya pergi pula mukhayyam intensif yang berlangsung sehingga 2 minggu. Ramai kawan cakap, "eh lamanya mukhayyam, tak boring ke?" Hm saya tak kisah je, yang penting dapat eratkan ukhuwwah, dapat jumpa kawan baru dan yang penting sekali dapat tambah input baru dalam dakwah serta mengukuhkan diri menjadi da'i yang tabah serta kental. Dua minggu je, bukan lama. Korbankan masa cuti untuk sesuatu yang lebih manfaat, bagi saya lebih baik. Walaupun saya terpaksa mengorbankan dua 'reunion' sekolah. (Sekolah masa Form 1 dan sekolah Form 2 - Form 5) Insya Allah, kalau diberi keizinanNya, reunion seterusnya saya akan cuba hadiri.

Peserta Ikhwah MIZU2009


Banyak slot yang menarik seperti Perkasa yang melibatkan aktiviti lasak iaitu berkayak dan wall climbing. Ada juga slot 'Dakwah Masyarakat Kampung'. Kami menziarahi masyarakat kampung sambil bermesra dengan mereka. Kumpulan saya menemuramah sebuah rumah dan meng'interview' sket sorang pakcik. Kami tanya tentang masalah mat rempit. Pakcik ni jawab "mat rempit ni eloknya letak diorang dalam satu tempat tertutup biar diorang gaduh dan bunuh sesama sendiri" dan "kalau jumpa motor diorang ni, pakcik bakar je". Huhu agak ganas 'violent' jugak pakcik ni. Sehari sebelum last, ada slot 'Dakwah Masyarakat Majmuk' kat Pekan Jitra. Saya dan seorang ikhwah sempat temuramah beberapa orang Cina dan kebanyakan mereka tidak tahu mengenai Islam. Tapi yang bestnya, ada sorang yang minat tentang Islam dan kami dah bagitau cara untuk hubungi institusi yang boleh bagi bantuan kepada mereka. (seperti Hidayah Center, PERKIM dan IPSI)

Training on Trainee Dakwah Masyarakat Majmuk

Dan terakhir sekali, 27 Jun lepas saya sempat pergi ke Training on Trainee Dakwah Masyarakat Majmuk. Program ni anjuran bersama beberapa NGO Islam iaitu PERKIM, YADIM, ABIM, JIM (Jamaah Islah Malaysia) dan KUIN (Kolej Universiti Insaniah Alor Star). Disampaikan oleh Bro Kamarudin dari IPSI (Islamic Propagation Society International) Boleh rujuk sini. Alhamdulillah, slot mantap! Sebelum tu di mukhayyam, sudah ada slot 'Dakwah Masyarakat Majmuk', maka saya takde la kekok sangat, cuma skill untuk sampaikan dakwah kepada Non Muslim ni kena gilap sket la. Ditambah pula saya tidak pernah sekolah kebangsaan dari kecil. Lepas tu pulak sekolah semua lelaki masa Form 2 sehingga Form 5.

Ada slot bengkel, dan saya kena jadi presenter kepada group saya. Segan jugak, dah la ramai pelajar lain yang berkopiah dan berbaju lengan panjang, saya dengan t-shirt je.(tak penting pun pakaian ni, yang penting tutup aurat! - kena ubah persepsi ni) Insya Allah, bro Kamarudin akan buat lagi slot 'Dakwah Masyarakat Majmuk' ni kat UUM pada 24 dan 25 Julai ni. Tak sabar rasanya.

Insya Allah, dengan bekal ilmu yang baru, diharapkan akan membuah menjadi amal dan tidak terperuk dibiarkan begitu sahaja.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
[ Surah ke 61, Ash-Shoff : Ayat 2 - 3 ]