Showing posts with label Remaja dan Futuwwah. Show all posts

Untukmu Syabaab - Episod III

Legasi dari siri pertama dan kedua

Terbanglah kalian bertebaran di muka bumi

Maka, pemuda sekalian, jelaskan fikrahmu! Fikirkan ummah lebih banyak dari dirimu sendiri. Bangkitkan saudaramu yang masih terleka. Ajak mereka!

Oleh itu, tugas utama kita ialah membangkitkan semula ruh-ruh Islam dalam setiap dari kamu. Ruh-ruh mereka dalam kesamaran apabila banyaknya karat-karat jahiliah menyelubungi hati dan minda mereka. Lantas, tugas kita lah untuk memperbetulkan umat ini.

Tugas kita hari ini semakin mencabar. Kita punya musuh dari luar yang terus menerus menyerang. Mereka tidak menyerang fizikal kita semuanya, tapi menyerang minda kita. Akibatnya, kita juga diserang dari dalam diri akibat kebiasaan kita dengan jahiliah. Ya, memang kita produk kejatuhan khilafah, namun itu bukan alasan untuk kita terus membiarkan diri kita sebegini.

Tiada jalan yang lebih baik dari ini tugas ini (berdakwah, membangkitkan semula ruh-ruh Islam). Bukan slogan-slogan yang penuh semangat ketika perhimpunan, tapi kosong apabila pulang ke rumah, atau apabila tamatnya perhimpunan. Bukan juga dengan terus mengangkat senjata. Tapi dengan melahirkan individu-individu yang faham. Faham tujuan hidup, dan faham matlamat akhirnya. Serta faham juga metod dan jalan kerja yang betul.

Apabila fahamnya (pada matlamat) mereka meresap dalam hati yang penuh cahaya (beriman), menerbitkan keikhlasan dalam sanubari untuk melakukan tugas ini. Kemudian dikuatkan lagi dengan semangat atau hamaasah yang dapat bertahan dengan amal yang berterusan. Ingatlah, inilah antara rukun pemuda yang kental; keIMANan penuh yakin, keIKHLASan yang jujur, HAMAASAH yang membakar dan AMAL yang penuh keazaman dalam setiap tindakan.

Sehingga akhirnya, kita tegar dengan slogan kita iaitu;

Allah matlamat kami
Rasulullah ikutan kami
Al-Qur’an pedoman kami
Jihad jalan juang kami
Mati di jalan Allah itu, cita-cita tertinggi kami

Dengan 7 wonders of the world yang kita ada, (bukan binaan yang terkenal itu, tapi tangga-tangga amal) teruskanlah mendaki dari satu tangga ke tangga yang lain, dengan penuh ‘izzah. Jangan dilayani orang yang pemalas dan hanya bergoyang kaki, mentertawakan ‘angan-angan kosong’ itu. Hanya mereka yang mencelikkan hatinya untuk faham sahaja yang akan yakin dengannnya.

Di akhirnya, hanya orang yang bekerja dan mahu menjayakan dakwah ini sahaja akan mempunyai saham kepada Islam.

Fikrah kita ini bukan jalan untuk orang yang memisahkan antara kehidupan dan ritualnya. Tapi fikrah kita ini ialah menjadikan Islam sebagai cara hidup. Sistem yang telah ditetapkan Allah ini sudah lengkap dan merangkumi semua aspek kehidupan, menepati fitrah manusia. Maka, mengapa hendak diletak ke tepi fitrah dan sunnatullah itu?

Lantaran itu, fikrah ini sangatlah jelas. Tiada percampuran ideologi lain diperlukan. Semuanya akan selesai dengan Islam. Maka, keputusan di tangan kamu, sama ada hendak menjadi pendokong, atau hanya penonton. Sesiapa yang bekerja dan bersusah payah demi agama ini, mencapai dua kebaikan sama ada hidup mulia atau mati syahid.

‘Umar al Khattab ra berkata kepada sahabatnya: “Impikanlah!” Aku mengimpikan negeri ini dipenuhi RIJAL seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Mu’az bin Jabal dan Salim (hamba Abu Huzaifah). Lalu aku meminta tolong dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah.”

Ia terus bergerak, sesiapa yang masih kurang yakin, pasti akan ditinggalkan.

Masanya untuk mengubah!

~ Hikmatusy Syuyukh wa Hamaasatusy Syabaab ~

Untukmu Syabaab – Episod II

Pemuda Kita

Mari telusuri sedikit kisah Pak Hassan. Dapatkah kamu teka apakah satu bentuk kesatuan yang pernah diwujudkan ketika beliau berumur sekitar belasan tahun? (11 atau 12 tahun)

Pastinya, jika kita pada waktu itu, hanya sekadar mewujudkan ‘kelab Dragon Ball’, kelab komik dan sebagainya. (ada yang tak nak mengaku?) Tapi, lihat apa yang Pak Hassan lakukan! Beliau mewujudkan ‘Kelab Amar Ma’ruf Nahi Munkar’!

Nah, dapatkah kita sedar apa yang memandunya sehingga begitu sekali? Kerana sedar akan tanggungjawabnya! Inilah pemuda yang berfikir. Inilah pemuda yang dinamik.

Hari ini, pemudanya lesu dan lembik. Pelbagai serangan sudah masuk ke minda. Bermula dari rumah sendiri! Televisyen, movie, malah komputer. (jika tidak digunakan dengan jalan yang betul) Perkara-perkara inilah yang menyibukkan pemuda sekalian. Bermula dari kecil, tarbiah TV benar-benar meresap sehingga ia menjadi satu kemestian kepada setiap keluarga untuk memilikinya. (bukan hendak salahkan TV, tapi kerana tiada pengawasan dalam rancangan yang dipertontonkan, selain daripada tiada kesedaran dari ibu bapanya)

Bayangkan pada suatu peperangan (tak ingat peperangan apa), seorang sahabat yang baru berusia belasan tahun (tak capai 15 rasenye) menangis-nangis sebab nak pergi berjihad. Kalau kita? Menangis agaknya, sebab kena tinggalkan rumah, kena keluar berjihad. Tapi itulah pemuda yang berfikir. Berfikir, dan bijaksana. Bijak ‘sana’ maksudnya bijak di sana iaitu di akhirat. Mati bukan benda yang hendak ditakutkan, tapi satu yang menjadi idaman.

Ini bukan untuk merangsang kamu pergi mengangkat senjata. (jihad bukan hanya mengangkat senjata - sila perbetulkan definisi sebenar jihad) Tapi ialah untuk membangkitkan jiwa yang tertidur. Kamu (pemuda Islam) ibarat singa yang terlupa cara mengaum, dibesarkan dengan suasana rusa, sehingga kamu bertempiaran lari ketika dikejar oleh serigala. Potensi sebenar kamu lebih, tapi kamu bazirkan di tempat yang tidak produktif, menyebabkan Islam sangat rugi.

Musuh-musuh Islam bekerja keras siang dan malam sebelum Islam benar-benar jatuh. Mereka tahu, jika mereka menyerang kita dengan fizikal, mereka pasti akan kalah. Tapi mereka menjalankan serangan pemikiran kepada kita. Lantas, kita dapat lihatlah apa yang terjadi selepas itu. Tika ini, mereka hanya membiarkan sahaja, lantaran kita yang hanya ‘kosong di dalam’. Luarnya Islam, tapi masih tersumbat dengan jahiliah dalam hati. Mereka memomokkan supaya kita merasa kerdil. Kerdil untuk bersuara atau apa sahaja. Lihatlah, pemuda hari ini.

Masih lagi keanak-anakan. Putus cinta menangis. Tengok artis terkeluar dari saingan pun menangis. Tapi kalau ulama’ meninggal langsung tak rasa apa-apa. Saudara kita yang mempertahankan Al-Quds, langsung tidak diambil peduli.

Begitulah, berjayanya musuh Islam mencabut perasaan persaudaraan antara kita. Sehinggakan yang dulunya, disebut pemuda Islam, gentar lah musuh Islam. Tapi kini tidak lagi.

Mereka bukan setakat boleh mengacah-acah kita, malah boleh menghina kita, dengan sistem hidup yang mereka aturkan untuk kita. Identiti Islam hanya tinggal pada kad pengenalan sahaja. Atau boleh dikatakan gah pada luaran, tapi dalamnya tidak punya ruh yang mempunyai semangat.

Video ihsan youtube hiday



~ Ruhbaanun fil layl, wa fursaanun fin nahaar ~

Untukmu Syabaab – Episod I

Titipan ini aku "ekstrak"kan dari bab "Wahai Pemuda" dalam sebuah buku Pak Hassan.

Mengapa Pemuda?

Mari kita imbas sejarah yang penuh dengan 'ibrah. (Sejarah ialah perkara yang menyeronokkan jika anda memahami sejarah dengan hati) Teliti kisah hidup 'Ali bin Abi Talib, Mus'ab bin Umayr, Mu'az bin Jabal, 'Aishah dan Asmaa' ra. Antara nama-nama yang menjadi tulang belakang dakwah Rasulullah saw. Mereka inilah yang menjadi tonggak kebangkitan ummah. Mereka inilah yang punya keyakinan dan keazaman yang membara, sanggup menempuhi dugaan dan menentang arus kontemporari ketika itu (jahiliah, berhala dan sebagainya). Begitu juga dalam revolusi di Rusia dan Perancis, para pemudalah nadi penggerak perubahan. Mereka ini (pemuda) punya beberapa kelebihan sehingga mampu menjadi pendesak, sekiranya mereka faham dan sedar potensi sebenar mereka, dan bersedia melakukan islah dan perubahan terhadap diri dan orang lain.

Pointnya, "sekiranya mereka FAHAM".

Jika kamu lihat pemuda Islam sekarang, mungkin boleh kamu katakan kisah pemuda Islam yang disebutkan tadi sebagai dongengan belaka. Ya, kerana pemuda yang ada pada masa sekarang langsung tidak melambangkan pemuda yang diceritakan di atas. (Pemuda di sini ialah pemuda Islam)

Pemuda yang telah melakar sejarah itu, merekalah pemuda yang BERFIKIR. Maka, du'at sekalian, fokuskan sasaran mad'u kamu pada golongan ini. Keluarkan potensi mereka, sedarkan mereka, untuk membangunkan semula ummah ini. Kerna, bila kesedaran muncul dalam diri mereka, mereka akan mula memikirkan kesejahteraan ummah, lebih dari diri mereka sendiri.

Sepertinya ghulam dalam kisah Ashaabul Ukhdud. Sanggup mati asalkan masyarakatnya selamat. Selamat dalam erti kata membebaskan diri dari perhambaan sesama manusia, kepada perhambaan yang "total" kepada Allah swt. Walaupun menjadi hamba, tapi hamba yang merdeka. Merdeka jiwa dari perhambaan kepada yang lemah, iaitu makhluk. Merdeka asalkan masih menepati batas syara'.

Pemudalah tiang kebangkitan ummah ini, dalam suatu projek besar digelar "Projek Renaissance Ummah". Ia sudah bermula sejak khilafah ditumbangkan. Tiada masa untuk berpangku tangan, menjadi golongan pemerhati!

Dapatkah kamu bayangkan satu perlawanan yang berat sebelah? Musuh Islam (yang bersatu) VS Islam. Sedangkan kamu tahu pasukan Islam sedikit jumlahnya dan kurang kelengkapannya. Tidakkah zalim jika kamu hanya menjadi golongan yang menonton? Sedang pasukan Islam terkapar-kapar, kamu dengan senang hati membiaya kelengkapan musuh Islam dengan membeli barangan keluaran mereka?? (Dah masuk bab boikot la plak)

Sedangkan hadith pernah menyebut,

"Sesiapa yang tidak menghiraukan
urusan umat Islam yang lain, maka dia
bukanlah dari kalangan mereka."

Jadi, hanya ada dua pilihan untuk kamu, hai pemuda! Tiada pilihan yang ketiga, sebagai penonton! Kelak nanti, Allah akan bertanya apa usaha yang kamu lakukan tika melihat ummah dalam kesakitan. Ratapan ummah ini sudah mampu dilihat dengan keruntuhan moral generasi muda, pelapis Islam ini sendiri. Jadi, kamu selesa dengan keadaan kamu sekarang? Kalau begitu, kamu hanya memikirkan diri sendiri!

Di manakah kamu? Berjuta-juta Muslim di seluruh dunia, tapi umpama buih-buih di lautan. Mengapa? Kerana kamu (dan aku) sudah dimabukkan dengan arak-arak hedonisme dan materialisme, serta sistem hidup (terutama pendidikan) yang telah disebatikan dengan kita. Maka jadilah kamu, singa-singa Islam yang sepatutnya garang, jinak bagaikan kijang-kijang.

Kalian harus tahu, jika pemuda Islam seluruh dunia bersatu, maka ia menjadi mimpi buruk kepada musuh-musuh Islam.

Apa lagi yang diinginkan? Kita punya tenaga, potensi dan kreativiti untuk melukis (baca : melakar) satu sejarah baru!

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
(Surah 9, At-Taubah : Ayat 111)

Allah telah menawarkan satu kontrak jualan yang sangat menguntungkan pihak kita, tapi kita sombong, enggan menerimanya?

Video ihsan mediafikr



~ Tabah Mendepani Dugaan ~

Teruskan Bergerak

Beberapa minggu lepas, telah aku habiskan pembacaan buku ‘Belajar dari Perang Uhud’. Sebelumnya, tahun 2008, aku telah habiskan buku ‘Belajar dari Dua Umar’. Di sini, ingin aku kongsikan secebis ilmu yang kudapat dari buku tersebut.


Bandingannya Perang Uhud, dapat kita lihat seperti situasi masa kini. Kita berada situasi pasca kejatuhan khilafah. Kejatuhan mental dan psikologi akibat kekalahan. Cumanya, tika Perang Uhud itu, kejatuhan mental dan psikologi masih terubat dengan adanya iman yang teguh. Mereka tertekan, dengan musuh yang nyata (Musyrikin di Makkah) dan musuh dalam selimut (munafiq) serta musuh yang dikira ’50-50’ iaitu yahudi di Madinah. Maka dapat lihat ketika itu, mereka sangatlah berdisiplin, berwaspada dan sangat menjaga keimanan mereka. Berbeza dengan kita, dalam keadaan kita ‘jatuh’ ini, kita masih bersenang lenang, tidak ada inisiatif membangkitkan semula maruah dan ke’izzahan kita untuk deen ini. Sedangkan saudara kita di tempat lain – Palestin, Selatan Thailand, Turkistan Timur (Xin Jiang) dan lain-lain – ditindas, dipermainkan, malah dihina. Apakah yang kita sedang lakukan saat ini?

Sepatutnya, sejarah kekalahan Islam dalam Perang Uhud itu menjadi pengajaran. Bukankah umat Islam itu tidak wajar untuk jatuh di lubang yang sama dua kali?

Makanya, jika ada yang masih belum mengetahui, ingin aku kongsikan di sini, sebahagian pengajaran dari Perang Uhud. Antaranya, pentingnya strategi dan mematuhi arahan pemimpin. Lihat sahaja, bagaimana strategi yang disusun Rasulullah berkesan kerana perancangan yang teliti. Namun, dalam hal mematuhi arahan pemimpin, kebanyakan pasukan pemanah mengingkari pesanan Rasulullah agar bertahan dari tempat mereka, lantas menjadi punca kekalahan Islam. (sila baca buku ini untuk mengetahui cerita penuh dan lanjut)

Selepas perang, dalam situasi yang agak lemah dan masih tertekan, Allah telah memberi motivasi dalam wahyu-wahyuNya. Hal ini untuk membangkitkan semula semangat Muslimin pada ketika itu, sebagai sokongan moral terhadap mereka. Berbeza dengan Perang Badar, banyak kritikan yang diwahyukan untuk Muslimin supaya mereka sentiasa berwaspada dan membaiki kesilapan untuk terus melakukan kejayaan dengan lebih baik pada masa akan datang, serta tidak bangga diri.

Marilah bersama-sama melahirkan umat yang bergerak! Jangan duduk berdiam diri, malah tidak ambil tahu nasib saudara seaqidah dan ummah! Malah menghasilkan generasi yang mandul dari segi pemikiran, serta tidak produktif. Ini juga menyebabkan potensi dan abiliti yang ada tidak dimaksimumkan. Bersama-sama kita menggerakkan ummah! Dan mulakan dengan dirimu sendiri. Kemudian keluarga dan saudara terdekat, sahabat, dan seterusnya orang lain.


Kita takkan berjaya membina satu binaan yang besar sendirian. Tapi dengan bersatu, kita akan kuat. ‘Satu lidi takkan mampu membersihkan semua kotoran, tapi bila dikumpul dan dijadikan penyapu, kotoran yang degil pun menyerah kalah’. Jom, jernihkan fikrah ummah untuk kesatuan ummah!

~ Maksimumkan potensi, Tingkatkan kompetensi ~

Satu Revolusi

Awal bulan ini, aku sempat menziarahi ikhwah di Kuala Nerang dan berhalaqoh kira-kira sejam lebih. Alhamdulillaah, dari pertemuan yang telah berlangsung, semoga Allah mentautkan hati-hati kami dengan ikatan keimanan dan persaudaraan Islam.

Ikhwah yang membawaku ke sana membuka majlis dan memulakan dengan isu terpenting ummah, iaitu Palestin.

Aku teringat salah satu roadshow Palestin yang pernah aku hadiri, seorang brothers dari Palestin membuat live audio conference ke Gaza pada waktu perang Gaza 27 Dis 2008 – 20 Januari 2009. Ibunya mengisahkan (secara ‘live’ ketika roadshow tersebut), bagaimana para ibu di sana, kerana sering mendengar bunyi pesawat dan senjata api, boleh mengenali jenis pesawat dan tembakan senjata api berdasarkan bunyi sahaja.

Dan, mereka di sana terus tabah bertahan, mempertahankan secebis dari tanah air mereka di samping berada di bumi yang diberkati.

Tahukah anda? Tika mereka getir, di saat peperangan itu meletus, usrah dan halaqoh mereka tetap berjalan. Dan jika tidak syahid, inshaAllah mereka akan hadir ke halaqoh dan liqa mereka. Murobbi mereka tabah, terus menerus mendidik dengan tarbiah imaniah untuk saling ingat-mengingati. Tika diberi ujian kesusahan, insya Allah, iman memecut naik, namun mereka, kerna sudah terbiasa, walaupun ramai yang menyambung pelajaran di luar negara seperti di Malaysia, masih mengekalkan momentum keimanan mereka. SubhaanAllaah!

Kita?

Terus di sini, leka dengan ‘dunia’ kita. Usrah dan halaqoh kita, kita beri alasan. Sibuk. Sibuk study, sibuk assignment dan sebagainya. Letih. Letih program itu dan ini. Mula-mula sibuk, kemudian mungkin ponteng dengan sengaja, dan seterusnya ‘lari’ terus dari bersama usrah dan tarbiah.

Sudah sampai masanya kita keluar dari kepompong keselesaan diri. Tugas kita bukan setakat memperbaiki diri, namun juga ummah ini. Sampaikan apa yang ada, biarpun sedikit. Kerana bila kita cuba menyampaikan, tika kita masih belum melakukan amal itu, insya Allah, kita akan rasa malu kerana tidak melakukannya, dan mula saat itu, kita mahu cuba melakukan amalan itu. (faham tak? Berbelit juga ayat ni)

Bayangkan, para sahabat dahulu boleh saja beralasan pada Rasulullah “wahyu tak habis lagi diturunkan”. Ilmu yang sedikit, namun ada usaha mengajak kepada kebaikan itu bukan takabbur. Bila kita buat kebaikan, tapi takut melakukan kerana tidak mahu dikatakan sebagai warak atau alim, itulah riak. Dan jika kita takut beramal kerana tidak ikhlas kepada Allah, itulah ‘ujub, seolah-olah kita sudah banyak amal.

Sebenarnya, ramai sahaja yang dahagakan kebenaran. Hanya kita sahaja yang masih ‘sombong’ dengan kelompok kita, tidak keluar untuk menghulur belaian iman dan tarbiah pada mereka. Lantas, apa yang dapat kita jawab di sana kelak? Marilah kita berasa malu kepadaNya agar kita semua dapat ‘memecahkan’ satu mindset yang negatif terhadap suasana yang ada sekarang. Kerana, jika kita yang berusaha mengubahnya, Allah pasti akan membantu. Percayalah, langkah pertama memang sukar, tapi bila kita punya usaha, Allah selalu bersama dan akan dibuka jalan dan dimudahkan dalam urusan keranaNya.

Marilah juga, kita takutkan pada kemurkaanNya. Jadilah orang yang baik dan membaikkan. Sesungguhnya Allah menurunkan musibah bukan terhadap orang yang berbuat munkar sahaja tapi juga orang yang tidak terlibat kerana tiada pelaksanaan amar ma’ruf (mengajak kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran).

Aku mencadangkan kepada kalian, jika tidak mampu melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar itu, maka bolehlah melakukan ‘ajakan kepada perubahan’ di mana membuat perubahan yang positif. Mungkin, opsyen (pilihan) yang kucadangkan ini tidak seberapa, namun lebih ‘selamat’ di mana kita mengajak orang dengan halus dan penuh berhikmah sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka sedang berubah menjadi soleh!


Ikhwah dan akhawat, revolusikan satu perubahan diri dari satu tahap ke tahap yang lain! Cabar diri anda! Jika sebelum ini kita mengislah diri, teruskan, maka insya Allah kita akan menjadi soleh. Dan, cubalah ke tahap untuk mengislah orang lain pula iaitu me'musleh'kan orang. (namun jangan tunggu diri sudah soleh baru ada usaha untuk musleh)

“Jika Allah memberi hidayah kepada seseorang disebabkan kamu, maka perkara tersebut lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.” (dalam riwayat lain, unta merah – kerana pada masa itu, unta merah bernilai seperti ferrari pada masa ini)

~ Iman, Amal, Semangat dan Ikhlas! ~

Permata Yang Dicari

*Sila ambil kira 'quote' yang diboldkan (ditebalkan) sahaja untuk lirik di bawah.*

Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini
MashaAllaah, sungguh, aku rasa tak berkuasa menahan diri bila mendengar bicaranya. Tika aku ‘mabuk’ dengan kalimah-kalimah yang keluar dari mulutnya, aku rasa seakan di awangan. Tidak sanggup rasanya bila menghadapi saat-saat perpisahan. Mahu sahaja aku menghentikan masa, agar aku sentiasa dapat bersamanya.

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu
Aku mohon sungguh-sungguh padaMu ya Allah, semoga hati-hati kami diikat dan disatukan. Jadikan hati kami tidak berbelah bahagi, saling sayang dan menyayangi.

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu
Dialah..! Permata yang baru ditemui. Dulunya kabur, kini sudah tampak jelas. Memberi sinar baru dalam hidup.

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu
Dan padaMu ya Allah, kuharap cinta yang hadir ini terus bersemi indah..

*************************

Pastinya, ramai yang tahu lirik lagu ini. Ia adalah lirik nasyid jiwang “Permata Yang Dicari” yang dinyanyikan oleh kumpulan DeHearty.

Sengaja aku meletakkan tajuk yang ‘panas’ dan sensasi agar menimbulkan kontroversi. Supaya anda semua mempunyai daya inkuiri yang tinggi. Tapi niatku bukan untuk membuat propaganda, apatah lagi gosip-gosip liar yang penuh fitnah (pada diri). Tujuanku hanya berkongsi rasa hatiku.

Rasa hati? Amboi dah pandai..

Rasa hatiku terhadap ruh-ruh baru dalam aktiviti penyeruan kepada jalanNya (also know as dakwah).

Hujung minggu lepas, (30 dan 31 Januari) aku berpeluang bersama ikhwah-ikhwah di Perlis dan mengikut program bersama mereka (inshaAllah, perkongsian pengisian program akan dikongsi jika ada permintaan).

Dan, dari program itulah, tercetusnya idea untuk entry ini. Aku lihat bagaimana kader-kader baru yang bersungguh-sungguh ingin ditarbiah pasca program berakhir. Bersemangat sekali selepas mendengar pengisian yang sangat menggugah hati mereka (Allaahu Akbar). Tak tahu bagaimana untuk kuungkapkan.

Maksimumkan potensi

Tahukah anda? Permata yang bernilai dan berkilau itu, ketika baru dilombong (sebelum proses), hanyalah ketulan-ketulan yang comot dan nampak tidak berarti.

Begitu juga manusia, jika potensi mereka digilap dan dimaksimumkan, maka terhasillah manusia yang berguna. Dalam usaha dakwah, mereka dalam proses menjadi permata-permata yang bernilai kepada ummah.

Entry ini, aku tujukan khas buat semua murobbi dan mudarris, terutama sekali murobbi teragung, Rasulullaah saw. Tidak dilupakan juga buat semua mad'u dan mutarobbi, tidak kira di mana jua antum berada, kerana antumlah yang bakal memikul beban perjuangan, membakar semangat ikhwah dan bakal ikhwah untuk terus menyalakan tekad dan menguatkan azam untuk meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.

Sesungguhnya, butir-butir bicara kalian sangat memikat hatiku dan meruntun jiwaku ini untuk bersama di dalam gerabak dakwah yang panjang ini. Terkenang aku, ketika mula-mula menerima ‘ketukan hati’ oleh murobbiku dahulu. Aku jadi ‘mabuk’ untuk sama-sama bekerja untuk agama yang mulia ini. Begitu juga dengan mereka (ikhwah baru Perlis).

Wahai du'at, teruskan usaha meng‘gilap’ permata-permata baru untuk meneruskan kelangsungan dakwah. InshaAllaah, dari jiwa-jiwa inilah akan muncul generasi yang akan memakmurkan muka bumi ini selaras dengan landasan yang ditetapkan Allah bagi manusia. Kerana, di tangan ruh-ruh baru dakwah inilah tempat ummah bergantung. Mereka inilah pewaris, penyambung dan perantara misi perjuangan yang dimulakan ‘Al-Amin’ (gelaran Rasulullah oleh Quraisy, yang bermaksud Yang Amanah).

Dan kerana mereka dan aku punya persamaan, aku berharap agar hati-hati antara kami diikat supaya ukhuwwah yang terjalin bakal mewujudkan satu keharmonian dalam dakwah. Saling bekerjasama, bagai aur dan tebing;
Allah menciptakan batu yang luar biasa besarnya, Allah menciptakan begitu kerasnya batu, Allah menciptakan air yang mengalir dengan lembut ini. Tapi antara batu dengan air mereka bekerjasama untuk menimbulkan satu harmoni yang Allah harapkan dalam semua aktivis dakwah. Bagaimana dengan kita? Kita sama Muslim, kita sama-sama aktivis dakwah, kenapa banyak antara kita semua tidak mengambil ibrah ini? Kenapa banyak antara aktivis dakwah selalu mengatakan ini hak antum, ini hak ana, ini kewajipan antum, ini kewajipan ana. Tidak ada. Malulah kita kepada apa yang diciptakan Allah. Batu dan air ini. Tidak ada pertikaian antara mereka.

[ Quote dari filem Sang Murabbi ]

Gambar ihsan dari akh 'Arif

Semoga Allah meneguhkan hati-hati yang ikhlas keranaNya untuk terus istiqomah dan tsabat. Yaa ayyuhal ikhwah, uhibbukum fillaah!!

p/s - entry ini terpaksa di'update' kerana ada yang salah faham, lantaran tajuknya yang menimbulkan sedikit kontroversi di kalangan blogger du'at. (istilah baru ni, leh masuk Kamus Dewan tak?)

~ Gelorakan Semangat Perjuangan ~