Istikharah

Aku dalam dilema.

Tuntutan kedua-duanya penting. Satu untuk masa depan, satu untuk masa 'muda'ku di 'sana'.

Ya Allah, tunjukkan ku jalan, dan permudahkan segala urusanku.

Gelora Rasa Hati

"Mengapakah kau berangkat pergi
Ketika ku masih perlu
Menatap wajahmu kali akhir
Dan lantas menyerang rindu..."

(Tak ingat tajuk lagunya hehe)

Sejak berada di tempat yang tiada capaian internet, nampaknya aku diserang rindu pula. Sudah lama tidak berhubung dengannya. Pada belaian tarbiahnya. Pada tazkirah saban waktu.

Sesetengah ikhwah sudah berkata, aku seperti menganggap dia itu ‘sheikh’ bagiku.

Tidak!

Bukankah, prinsip dalam perkumpulan kita, semua orang adalah sama? Maksudnya, sesiapa sahaja boleh memberi pendapat. Asalkan beliau punya hujah yang kukuh, keputusan itulah yang akan diterima.

Begitu juga dalam hal pentarbiahan. Bukanlah aku menganggap dia itu satu-satunya murabbi ku, tempat rujukanku sentiasa. Tapi, mungkin kerana keterikatan hati yang Allah telah cambahkan di hatiku ini. Lantas, membuatkan aku sentiasa dibayangi dirinya. Namun, masih ada batasnya juga. Aku tidaklah melulu dalam setiap perkara. Kerana dia bukan Sang Terpilih, Rasulullah saw. Maka ada juga kesilapan yang dia lakukan. Cumanya, aku menonjolkan apa-apa yang baik untuk anda semua contohi. Takkanlah aku hendak menceritakan keaibannya pula??

Maafkan diriku. Bukanlah aku hendak mengagungkan sesiapa.

Tapi, aku juga hendak menegur kerana beberapa ikhwah yang berada di bawah jagaan beliau dahulu mulai futur kerana kehilangan beliau. Itulah yang merunsingkan! Mungkin kerana mereka masih baru, dan aku pula tidak dapat melakukan tugas dengan sebaiknya dalam mengambil alih, membelai mereka dengan sentuhan tarbiah yang menghangatkan.


“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu).”
Maka, adakah bila dia tiada di sisi, kamu semua berpaling? Sudah hilang ke mana semangatmu itu? Adakah kamu gigih dahulu kerana mencari nama? Atau malu kepada orang lain? Atau kerana harta?

Tika Rasulullah wafat, saidina Umar dengan lantang menyuarakan ‘Muhammad tidak mati, tapi pergi sebentar menemui Allah’. Sehinggalah saidina Abu Bakar mengungkapkan ayat ke 144 surah Aali ‘Imraan di atas dan menyedarkan Umar bahawa Rasulullah telah wafat.

Ikhwaan fillaah,
Kadang-kala, kita tidak sedar apabila diri kita tergelincir dari landasan yang sebenar, lantaran kelekaan kita. Maka, marilah kita sentiasa memperbaharui niat kita. Juga, teruslah saling ingat memperingati dengan kebenaran dan kesabaran (Surah 103, Al-‘Ashr : Ayat 3) serta penuh kasih sayang (Surah 90, Al-Balad : Ayat 17). Sesungguhnya, hanya di atas jalan inilah kita akhiri hayat kita!

~ Teguhkan Hati, Koreksi Diri ~

Teruskan Bergerak

Beberapa minggu lepas, telah aku habiskan pembacaan buku ‘Belajar dari Perang Uhud’. Sebelumnya, tahun 2008, aku telah habiskan buku ‘Belajar dari Dua Umar’. Di sini, ingin aku kongsikan secebis ilmu yang kudapat dari buku tersebut.


Bandingannya Perang Uhud, dapat kita lihat seperti situasi masa kini. Kita berada situasi pasca kejatuhan khilafah. Kejatuhan mental dan psikologi akibat kekalahan. Cumanya, tika Perang Uhud itu, kejatuhan mental dan psikologi masih terubat dengan adanya iman yang teguh. Mereka tertekan, dengan musuh yang nyata (Musyrikin di Makkah) dan musuh dalam selimut (munafiq) serta musuh yang dikira ’50-50’ iaitu yahudi di Madinah. Maka dapat lihat ketika itu, mereka sangatlah berdisiplin, berwaspada dan sangat menjaga keimanan mereka. Berbeza dengan kita, dalam keadaan kita ‘jatuh’ ini, kita masih bersenang lenang, tidak ada inisiatif membangkitkan semula maruah dan ke’izzahan kita untuk deen ini. Sedangkan saudara kita di tempat lain – Palestin, Selatan Thailand, Turkistan Timur (Xin Jiang) dan lain-lain – ditindas, dipermainkan, malah dihina. Apakah yang kita sedang lakukan saat ini?

Sepatutnya, sejarah kekalahan Islam dalam Perang Uhud itu menjadi pengajaran. Bukankah umat Islam itu tidak wajar untuk jatuh di lubang yang sama dua kali?

Makanya, jika ada yang masih belum mengetahui, ingin aku kongsikan di sini, sebahagian pengajaran dari Perang Uhud. Antaranya, pentingnya strategi dan mematuhi arahan pemimpin. Lihat sahaja, bagaimana strategi yang disusun Rasulullah berkesan kerana perancangan yang teliti. Namun, dalam hal mematuhi arahan pemimpin, kebanyakan pasukan pemanah mengingkari pesanan Rasulullah agar bertahan dari tempat mereka, lantas menjadi punca kekalahan Islam. (sila baca buku ini untuk mengetahui cerita penuh dan lanjut)

Selepas perang, dalam situasi yang agak lemah dan masih tertekan, Allah telah memberi motivasi dalam wahyu-wahyuNya. Hal ini untuk membangkitkan semula semangat Muslimin pada ketika itu, sebagai sokongan moral terhadap mereka. Berbeza dengan Perang Badar, banyak kritikan yang diwahyukan untuk Muslimin supaya mereka sentiasa berwaspada dan membaiki kesilapan untuk terus melakukan kejayaan dengan lebih baik pada masa akan datang, serta tidak bangga diri.

Marilah bersama-sama melahirkan umat yang bergerak! Jangan duduk berdiam diri, malah tidak ambil tahu nasib saudara seaqidah dan ummah! Malah menghasilkan generasi yang mandul dari segi pemikiran, serta tidak produktif. Ini juga menyebabkan potensi dan abiliti yang ada tidak dimaksimumkan. Bersama-sama kita menggerakkan ummah! Dan mulakan dengan dirimu sendiri. Kemudian keluarga dan saudara terdekat, sahabat, dan seterusnya orang lain.


Kita takkan berjaya membina satu binaan yang besar sendirian. Tapi dengan bersatu, kita akan kuat. ‘Satu lidi takkan mampu membersihkan semua kotoran, tapi bila dikumpul dan dijadikan penyapu, kotoran yang degil pun menyerah kalah’. Jom, jernihkan fikrah ummah untuk kesatuan ummah!

~ Maksimumkan potensi, Tingkatkan kompetensi ~

Satu Revolusi

Awal bulan ini, aku sempat menziarahi ikhwah di Kuala Nerang dan berhalaqoh kira-kira sejam lebih. Alhamdulillaah, dari pertemuan yang telah berlangsung, semoga Allah mentautkan hati-hati kami dengan ikatan keimanan dan persaudaraan Islam.

Ikhwah yang membawaku ke sana membuka majlis dan memulakan dengan isu terpenting ummah, iaitu Palestin.

Aku teringat salah satu roadshow Palestin yang pernah aku hadiri, seorang brothers dari Palestin membuat live audio conference ke Gaza pada waktu perang Gaza 27 Dis 2008 – 20 Januari 2009. Ibunya mengisahkan (secara ‘live’ ketika roadshow tersebut), bagaimana para ibu di sana, kerana sering mendengar bunyi pesawat dan senjata api, boleh mengenali jenis pesawat dan tembakan senjata api berdasarkan bunyi sahaja.

Dan, mereka di sana terus tabah bertahan, mempertahankan secebis dari tanah air mereka di samping berada di bumi yang diberkati.

Tahukah anda? Tika mereka getir, di saat peperangan itu meletus, usrah dan halaqoh mereka tetap berjalan. Dan jika tidak syahid, inshaAllah mereka akan hadir ke halaqoh dan liqa mereka. Murobbi mereka tabah, terus menerus mendidik dengan tarbiah imaniah untuk saling ingat-mengingati. Tika diberi ujian kesusahan, insya Allah, iman memecut naik, namun mereka, kerna sudah terbiasa, walaupun ramai yang menyambung pelajaran di luar negara seperti di Malaysia, masih mengekalkan momentum keimanan mereka. SubhaanAllaah!

Kita?

Terus di sini, leka dengan ‘dunia’ kita. Usrah dan halaqoh kita, kita beri alasan. Sibuk. Sibuk study, sibuk assignment dan sebagainya. Letih. Letih program itu dan ini. Mula-mula sibuk, kemudian mungkin ponteng dengan sengaja, dan seterusnya ‘lari’ terus dari bersama usrah dan tarbiah.

Sudah sampai masanya kita keluar dari kepompong keselesaan diri. Tugas kita bukan setakat memperbaiki diri, namun juga ummah ini. Sampaikan apa yang ada, biarpun sedikit. Kerana bila kita cuba menyampaikan, tika kita masih belum melakukan amal itu, insya Allah, kita akan rasa malu kerana tidak melakukannya, dan mula saat itu, kita mahu cuba melakukan amalan itu. (faham tak? Berbelit juga ayat ni)

Bayangkan, para sahabat dahulu boleh saja beralasan pada Rasulullah “wahyu tak habis lagi diturunkan”. Ilmu yang sedikit, namun ada usaha mengajak kepada kebaikan itu bukan takabbur. Bila kita buat kebaikan, tapi takut melakukan kerana tidak mahu dikatakan sebagai warak atau alim, itulah riak. Dan jika kita takut beramal kerana tidak ikhlas kepada Allah, itulah ‘ujub, seolah-olah kita sudah banyak amal.

Sebenarnya, ramai sahaja yang dahagakan kebenaran. Hanya kita sahaja yang masih ‘sombong’ dengan kelompok kita, tidak keluar untuk menghulur belaian iman dan tarbiah pada mereka. Lantas, apa yang dapat kita jawab di sana kelak? Marilah kita berasa malu kepadaNya agar kita semua dapat ‘memecahkan’ satu mindset yang negatif terhadap suasana yang ada sekarang. Kerana, jika kita yang berusaha mengubahnya, Allah pasti akan membantu. Percayalah, langkah pertama memang sukar, tapi bila kita punya usaha, Allah selalu bersama dan akan dibuka jalan dan dimudahkan dalam urusan keranaNya.

Marilah juga, kita takutkan pada kemurkaanNya. Jadilah orang yang baik dan membaikkan. Sesungguhnya Allah menurunkan musibah bukan terhadap orang yang berbuat munkar sahaja tapi juga orang yang tidak terlibat kerana tiada pelaksanaan amar ma’ruf (mengajak kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran).

Aku mencadangkan kepada kalian, jika tidak mampu melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar itu, maka bolehlah melakukan ‘ajakan kepada perubahan’ di mana membuat perubahan yang positif. Mungkin, opsyen (pilihan) yang kucadangkan ini tidak seberapa, namun lebih ‘selamat’ di mana kita mengajak orang dengan halus dan penuh berhikmah sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka sedang berubah menjadi soleh!


Ikhwah dan akhawat, revolusikan satu perubahan diri dari satu tahap ke tahap yang lain! Cabar diri anda! Jika sebelum ini kita mengislah diri, teruskan, maka insya Allah kita akan menjadi soleh. Dan, cubalah ke tahap untuk mengislah orang lain pula iaitu me'musleh'kan orang. (namun jangan tunggu diri sudah soleh baru ada usaha untuk musleh)

“Jika Allah memberi hidayah kepada seseorang disebabkan kamu, maka perkara tersebut lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.” (dalam riwayat lain, unta merah – kerana pada masa itu, unta merah bernilai seperti ferrari pada masa ini)

~ Iman, Amal, Semangat dan Ikhlas! ~

Task Force Hari Valentine

Flyers Hari Kekasih (Valentine), untuk sebaran. Copyleft (hakcipta tidak terpelihara). Sila klik dan save.

Versi Bahasa




Versi English


~ Perkasakan Tarbiah, Selamatkan Ummah ~

Men'servis' Hati

Sedar tak sedar, dah dua tahun tak balik rumah.

Teruknya!

Heh ~ Gurau sahaja. Kali terakhir aku berada di rumah, bersama keluarga ialah pada 29 November 2009. (dua tahun la kan?) - Aku tidak berada di rumah pada cuti final semester lepas kerana ada kursus Flash di Kedah.

Hujung minggu lepas, antara pengisian yang sangat menyentuh hati aku ialah ketika bersama merasai keindahan bersama Allah, bersama Rasulullah, bersama ibu bapa dan bersama kawan-kawan. Tidak lain tidak bukan, pengisian tersebut ialah dari program “Keindahan BersamaMu” atau akronimnya ‘KBM’.

Walaupun sudah lama mendengar namanya, tapi aku baru kali pertama mendengar pengisian dari program tersebut. Aku tidak berniat pun untuk menyertainya, hanya sekadar memerhati. Tapi seorang ikhwah meminta bantuanku untuk salah satu slotnya iaitu ‘Meniti Angin Malam’. Sambil membantu, aku juga turut mendapat pengalaman dan ilmu yang baru.

Alhamdulillaah, pengisian yang diberi sungguh menginsafkan. Aku harap beberapa ilmu yang aku peroleh itu akan dipraktikkan kelak.

Dalam pada itu, aku telah mengkhatamkan buku “Hati Sebening Mata Air” (lamanya aku ambil masa untuk habiskan, dari bulan April 2008 lagi aku mula baca) atau judul asalnya dalam bahasa Arab iaitu “Islaahul Qulub”.

Serius aku ingin khabarkan kepada kalian, usai sahaja aku membacanya, aku rasa ada beberapa pengajaran yang boleh dikaitkan dengan program KBM tadi.

Program KBM akan memperingatkan peserta bahawa dunia yang kita kejar selama ini hanyalah ilusi, sedangkan kuburlah destinasi kita sebelum ke mahsyar nanti. Ketika slot ini, aku teringat sebahagian isi buku tentang azab kubur, Hari Kebangkitan, syurga dan neraka serta hisab.

Menggetarkan hati..

Justeru itu, aku ingin kongsikan kepada kalian, petikan dari buku tersebut, bahawa Allah itu Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kerana apa?

Kerana, sungguh banyak sekali cara kita boleh masuk syurga.

Namun, kita perlu bersabar dengan ujian di dunia. Ujian untuk menahan dari maksiat, serta ujian dari kemalasan melakukan perkara yang mahmudah dan ibadah yang ditetapkan Allah. Pun begitu, Allah telah menyusun beberapa ‘terminal’ atau stesen bagi kita untuk menyucikan diri sebelum dihisab.

4 di dunia

1. Taubat
2. Istighfar
3. Kebaikan dan amal soleh
4. Musibah dan ujian

3 di kubur

1. Solat jenazah
2. Fitnah dan seksaan di kubur
3. Hadiah pahala dari amal manusia

4 di hari qiamat

1. Kengerian hari Qiamat
2. Berdiri di hadapan Allah swt
3. Syafaat Nabi
4. Ampunan Allah

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

(Surah 55, Ar-Rahman : Ayat 16)
Lihatlah, di dunia sahaja telah disediakan empat terminal penyucian dosa. Pilihan di tangan kita. Sama ada hendak menyuci dengan cara yang baik di dunia, atau dengan cara yang menyeksakan seperti diazab di kubur atau ditimpakan kesusahan dan kepayahan ketika di padang Mahsyar.

Buku yang ana reviewkan tersebut, sangat bagus untuk dibaca kerana dapat meningkatkan intensiti ‘selera’ anda untuk beribadah. Tidak kira ibadah rohani atau jasmani. Pastinya, anda akan cuba untuk cuba meraih perhatian dariNya dengan membaca surat cintaNya (Al-Qur’an) dan melakukan kebaikan hanya untuk mendapat keredhaanNya.

p/s - Sekadar memperingatkan terutama diri yang menulis ini. Jangan hanya lincah di medan tarbiah luaran tapi kita lupa pada tarbiah dzatiah (peribadi). Kelak akan menghasilkan jiwa yang kosong dan ‘kering’. Jika tidak dirawat segera, iman akan menjadi kontang dan futur boleh terjadi.

~ Islah, Islah, Membawa Perubahan ~