Gelora Rasa Hati

"Mengapakah kau berangkat pergi
Ketika ku masih perlu
Menatap wajahmu kali akhir
Dan lantas menyerang rindu..."

(Tak ingat tajuk lagunya hehe)

Sejak berada di tempat yang tiada capaian internet, nampaknya aku diserang rindu pula. Sudah lama tidak berhubung dengannya. Pada belaian tarbiahnya. Pada tazkirah saban waktu.

Sesetengah ikhwah sudah berkata, aku seperti menganggap dia itu ‘sheikh’ bagiku.

Tidak!

Bukankah, prinsip dalam perkumpulan kita, semua orang adalah sama? Maksudnya, sesiapa sahaja boleh memberi pendapat. Asalkan beliau punya hujah yang kukuh, keputusan itulah yang akan diterima.

Begitu juga dalam hal pentarbiahan. Bukanlah aku menganggap dia itu satu-satunya murabbi ku, tempat rujukanku sentiasa. Tapi, mungkin kerana keterikatan hati yang Allah telah cambahkan di hatiku ini. Lantas, membuatkan aku sentiasa dibayangi dirinya. Namun, masih ada batasnya juga. Aku tidaklah melulu dalam setiap perkara. Kerana dia bukan Sang Terpilih, Rasulullah saw. Maka ada juga kesilapan yang dia lakukan. Cumanya, aku menonjolkan apa-apa yang baik untuk anda semua contohi. Takkanlah aku hendak menceritakan keaibannya pula??

Maafkan diriku. Bukanlah aku hendak mengagungkan sesiapa.

Tapi, aku juga hendak menegur kerana beberapa ikhwah yang berada di bawah jagaan beliau dahulu mulai futur kerana kehilangan beliau. Itulah yang merunsingkan! Mungkin kerana mereka masih baru, dan aku pula tidak dapat melakukan tugas dengan sebaiknya dalam mengambil alih, membelai mereka dengan sentuhan tarbiah yang menghangatkan.


“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu).”
Maka, adakah bila dia tiada di sisi, kamu semua berpaling? Sudah hilang ke mana semangatmu itu? Adakah kamu gigih dahulu kerana mencari nama? Atau malu kepada orang lain? Atau kerana harta?

Tika Rasulullah wafat, saidina Umar dengan lantang menyuarakan ‘Muhammad tidak mati, tapi pergi sebentar menemui Allah’. Sehinggalah saidina Abu Bakar mengungkapkan ayat ke 144 surah Aali ‘Imraan di atas dan menyedarkan Umar bahawa Rasulullah telah wafat.

Ikhwaan fillaah,
Kadang-kala, kita tidak sedar apabila diri kita tergelincir dari landasan yang sebenar, lantaran kelekaan kita. Maka, marilah kita sentiasa memperbaharui niat kita. Juga, teruslah saling ingat memperingati dengan kebenaran dan kesabaran (Surah 103, Al-‘Ashr : Ayat 3) serta penuh kasih sayang (Surah 90, Al-Balad : Ayat 17). Sesungguhnya, hanya di atas jalan inilah kita akhiri hayat kita!

~ Teguhkan Hati, Koreksi Diri ~