Kau Yang Ku Rindu

Di hari raya..
Terkenang daku kepada si dia..
(petikan lagu raya)

Aku masih terkenangkan dia. Sukar sekali melupakannya. Aku sungguh rindu padanya. Seakan pantas masa berlalu. Masa seakan cemburu. Jarum jam dirasakan berputar berganda-ganda cepat dari biasa. Jikalau boleh, mahu saja aku menghentikan waktu. Tapi sudah pasti aku tak mampu.

Dia telah pergi, tapi..

Aku masih terkenangkan sentuhannya. Merindukan belaiannya.

Dia pergi apabila masanya tiba, dan aku tidak dapat menghalangnya...

***************************

Apa agaknya yang dikenangkan tu ya?

"Awek lama?"

Salah.

"Murabbi lama?"

Tak.

"Anak kucing
lamakesayangan?"

Bukanlaaaaahhh!

*******************

Tapi dia yang membawa tiga perkara.

Rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka.

Ya, itulah Ramadhan! Bulan yang dirindui!

Auranya sangat mengujakan. Impaknya sungguh mendalam. Tapi..

'Aksi' persembahanku sepanjang Ramadhan masih belum memuaskan. Bagiku.

Ya, memang banyak sasaran berjaya kulakukan (alhamdulillah!). Tapi, aku masih rasa menyesal.

Kerana, kemampuanku bukan setakat itu sebenarnya. Tapi lebih dari itu.

Hanya, aku yang lalai dan leka ini, masih punya lagi sifat kemalas-malasan.

Terkenang aku pada satu kisah, di akhirat kelak, nantinya ramai (mungkin juga kesemua) orang yang masuk syurga akan berkata pada dirinya, "aduhai! Jikalau aku melebihkan amalanku ketika di dunia, dan meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat, pastinya aku akan mendapat ganjaran yang lebih di syurga ini. Dan memasuki syurga yang tertinggi." (Tak ingat baca di mana, tapi lebih kurang macam ni la)

Dan, kerana itulah, aku seolah-olah terasa kehilangan yang sangat besar pada 'Idul Fitri tahun ini. Seolah-olah kemenangan itu bukan untukku. (kerana 'Idul Fitri ialah kemenangan buat orang yang beramal sepanjang Ramadhan) Dan sebagai da'ie, jika kriteria kemenangan belum dicapai, mahukah kemenangan sampai kepadanya?

Alhamdulillah, cuma satu peningkatan yang bagus ialah aku mula dapat merasai 'kelazatan' ibadah Ramadhan itu. Dan ia menjadi saksi (penyaksian - syahadah) bagiku, bahawa ibadah (tarbiah dzatiah) itu sesuatu yang sangat penting dalam diri seorang du'at. Sebagai minyak pelincir dalam kenderaan dakwah untuk fardiah (individual). Jika minyak pelincir kering, enjinnya pasti tersekat-sekat, seumpama dakwah akan sedikit tersekat apabila da'ie itu kurang menjaga tarbiah dzatiahnya. Kerana itulah, minyak pelincir ini harus dijaga sebaiknya.

Sedikit kisah, buat renungan;

Ketika melakukan ibadah di malam hari, seorang tabi'in, Al-Ahnaf bin Qais akan meletakkan pelita berdekatan dengannya sambil beliau mendirikan solat di mihrabnya. Setiap kali terlintas di fikirannya dosa yang telah dilakukannya atau suatu kesalahan yang pernah dilakukannya, beliau akan mendekatkan jari ke api pelitanya. Beliau akan berkata: "Rasakan wahai Ahnaf kenapa engkau lakukan perkara itu pada hari itu. Celakalah engkau wahai Ahnaf. Jika engkau tidak mampu menahan api pelita ini dan tidak dapat menahan kepanasannya, mungkin engkau akan dapat menahan kepanasan api neraka dan mampu menahan seksaannya?!" [1]

Jika kita tahu bagaimana panasnya api neraka itu, maka kita tidak akan mahu singgah di sana walaupun sedetik! (Inilah penyaksian terhadap neraka)

Hai yang berjiwa du'at!

Saksikan bahawa Ramadhan itu satu terminal penyucian. Maka janganlah lagi kamu lalai dan leka lagi apabila Ramadhan 1432H datang padamu!


Syahaadatur Ramadhan!

~ Penyaksian Yang Tak Mampu Diungkap ~

[1] 37 Kisah Kehidupan Tabi’in. Pustaka Salam.

Ramadhan Dalam Kehidupan Seorang Daie

Teringat lagi tika malam pertama bersama denganmu.

Aku masih lagi terkial-kial membina hubungan itu. Mungkin kekok, kerana 11 purnama tidak bersua. Masih lagi sedikit yang dapat kulakukan, untuk menggembirakanmu.

Hari terus berlalu.. Kita sudah semakin serasi.

Tapi, nampaknya langit tak selalu cerah, dan masa juga mencemburui kita.

Kita terpaksa berpisah apabila tiba waktunya. Dan akan bertemu kembali bila masanya tiba.

Ramadhan.. Tiada yang lebih memilukan, dari berpisah denganmu..

Denganmulah, kami, du’at ilallah, menyasarkan diri untuk mencapai taqwa. Denganmu juga kami akan meningkatkan amalan dzatiah yang biasa menjadi lebih banyak, supaya selepas engkau pergi, ia akan menjadi titik tolak dalam peningkatan tarbiah dzatiah diri ini. Kami juga bisa menjadikan masa untuk me‘muntalaq’kan diri dan mad’u kami.

Tidak.. Jangan kau tinggalkan kami..!!

************************************************

Sekadar berkongsi ayat-ayat yang menarik tentang pemergian Ramadhan :

1. Semakin ramadhan meninggalkan manusia, semakin manusia melupai ramadhan. (Akh Lud Ibrahim)

2. 29 Ramadhan, tidak terlambat lagi jika mahu top-up buku amalan kita! Biar yang dicatit banyak-banyak yang baik dan soleh sahaja. (Ukhti Syazana)

3. Izinkan saya selfish cuma untuk satu malam ini, demi menghilangkan rindu di hati, untuk tenggelam dalam kekhusyukan ibadah kepada Tuhanku, agar lebih bererti tarbiyah ramadhanku kali ini. (Ir Faridul)

4. Moga Allah tautkan hati para graduan Ramadhan dengan tautan keimanan dan ketakwaan. Justeru akan lahir persaudaraan dan kemaafan yang berpanjangan.(mukshim.blogspot.com)

~ Semoga Tahun Ini Bukan Ramadhan Yang Terakhir ~

Mari 'Boros' Di Bulan Yang Mulia


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
[ Surah 9, At-Taubah : Ayat 111 ]

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
[ Surah 61, As-Soff : Ayat 10 - 11 ]

Bulan yang mulia ini akan pergi kurang dari 10 hari lagi. Semoga momentum amalan harian sepanjang Ramadhan ini masih berterusan meskipun ia telah berlalu. Tilawah, zikir, istighfar, sedekah (infaq), solat sunat, tahajud dan sebagainya. Ingatkah anda, amalan baik pada bulan ini digandakan pahalanya sebanyak 70 kali? Justeru, perbanyakkan amal yang baik di bulan mulia ini.

Dan, bulan ini sepatutnya kita boros!


Boros? Ya, boros berbelanja di jalan Allah. Apatah lagi, pahalanya dilipat kali ganda 70 kali. Bagi yang sudah bekerja, mungkin, beri sahaja duit (sedekah) kepada anak saudara atau adik yang kecil ketika bulan Ramadhan ini? Kerana jika kita menyediakan duit raya untuk diberi pada hari raya nanti, nilaian RM2 hanya dikira sebagai sedekah RM2. Tapi jika kamu memberi RM2 pada bulan Ramadhan, pahalanya akan berlipat ganda, seolah anda bersedekah sebanyak RM140!

Apa tunggu lagi? Mahu boros ketika Ramadhan atau Syawwal? Pilihan di tangan anda! Sementara 'sale' masih ada!

p/s - entry ini ditulis selepas mendengar tazkirah ketika iftar dari seorang ikhwah. Kalau dapat dengar dari mulut dia, lagi best!

~ Memburu 'Pembebasan dari Api Neraka' ~