Satu Langkah Baru Buat Aku (dan Kamu)

Malam tadi, halaqoh kami diadakan penuh santai. Tidak di rumah, masjid atau pun surau. Tetapi di gerai tepi jalan. Hanya tilawah Al-Qur’an sahaja yang dibuat di rumah naqibku, sebelum kami semua ke gerai dan makan bersama.

Selesai makan, beberapa persoalan ditimbulkan dan membuahkan perbincangan yang menarik. Pulang ke rumah, aku berfikir-fikir mengenai perbincangan tersebut, mengenai peribadi dan sifat pada seorang da’i, yang tentunya menggelarkan diri mereka pejuang Islam.

Gulp! Aku rasa malu. Cukupkah muwassofatku? Masih ada banyak juga peribadi dan rutin jahiliah yang masih belum aku tinggalkan. Seringkali, aku tewas dalam membuangnya. Namun, aku tak menafikan yang banyak perubahan dapat aku lakukan selepas merasai keindahan tarbiah. Cuma, perubahan itu masih belum cukup. Harus ada peningkatan lagi. Potensi sudah ada, cuma perlukan sedikit lonjakan dan perangsang bagi mengekalkan momentum tersebut.

Jika menurunnya iman untuk mencari momentum kembali memecut naik, tidak mengapa. Bagaimana jika ia terus menurun sehingga ke paras kritikal, lantas hilang, hanyut ditelan suasana? (Na’uzubillaah!)

Ikhwaan fillaah,
Tegurlah aku jika kalian melihatku ‘tersasar’ dari landasan yang benar. Apatah lagi jika aku menyongsang arus kebenaran, sudah pasti kalian wajib menyedarkanku.

Dan, ikhwaan yang baru,
kalian ‘terlambat’ bersama di atas jalan ini, tidak bererti kalian lemah, dan tidak juga bererti ‘senior’ dalam tarbiah itu, lebih hebat. Kulihat, kalian lebih bersemangat, dan seharusnya semangat itu disalurkan melalui medium yang ada. Jangan terlampau merendah diri sehingga tidak mahu bekerja dan jangan pula terlampau meninggi diri, kelak menimbulkan penyakit hati yang bisa menghilangkan pahala kerja-kerja amal kita. Tidak ada ‘senioriti’ dalam dakwah ini sebenarnya. Yang membezakan hanyalah bagaimana kita memahami tarbiah itu.

Ada yang memakan masa yang lama dan ada yang pendek. Lantaran itu, masa kalian yang masih pendek, tidak bererti kalian tidak perlu lagi berbuat apa-apa. Jika kalian rasa ummah ini memerlukan antum, mulalah mengorak langkah.

Setiap kita yang berada di jalan ini, seharusnya menjadi murabbi kepada ummah. Kerna kita ada sesuatu yang berbeza berbanding orang lain yang tidak menerima tarbiah. Relakah kalian biarkan saudara kalian teraba-raba dalam kegelapan? Jika jawapannya tidak, marilah kita bergabung dalam saff, dan menyusun perancangan untuk menyuburkan dakwah di muka bumi ini. Usah dihirau hasil yang dicapai, sebaliknya usaha kita sentiasa ditambah baik. Allah akan menilai usaha, bukan hasilnya. Jika kalian sudah bersedia memberikan jiwa raga untuk dakwah ini, kuharap suatu hari nanti kita dapat bersua kembali di Firdausi yang indah tak terbayang dek imaginasi.

p/s – semakin lama, merasakan semakin kerdil untuk menulis dalam blog ini. Mungkinkah aku perlu menutup blog ini...?

~ Bekerja dan terus bekerja ~

6 Tindakbalas²:

Pembebasan

Saban hari, semakin biadap sekali perlakuan Zionis laknatullah terhadap saudara seMuslim kita di Palestin.

Sedarlah hai saudara-saudaraku, bumi suci itu milik kita orang Islam. Mengapa sungguh sukar bagimu untuk membantu mereka?

Sesen yang kau "infaq"kan buat McD dan yang sekutu dengannya, bila dikumpulkan dengan sesen dari sejuta orang di tempat lain, bisa cukup menjadikan bumi itu berdarah.

Apakah tidak ada rasa kasihan dan simpati? Adakah kerana mereka bukan saudara mara kita yang terdekat? Kerana jauhnya pertalian darah?

Saudara seMuslimku,
mari betulkan kesilapan silam. Memang boikot dari seorang tidak menampakkan kesan, tapi jika semua Muslim berfikir seperti anda, tiada yang mustahil, "empayar" McD yang besar selama ini pun boleh tumbang.

Ikhwaan fillaah,
ayuh rapatkan saff! Teguhkan hati di atas jalanNya, kuatkan tekad, bertawadhu' dalam doa. Suatu hari nanti akan kita gegarkan bumi suci itu dengan laungan kalimah suci. Tak ternilai sekali. Ingin aku bersolat di dalam Masjidil Aqsa bersama-sama kalian. Berjanjilah!!

Semoga impian itu bisa jadi kenyataan.

[ Klik gambar untuk baca maklumat dalam poster di atas ]

Istikharah

Aku dalam dilema.

Tuntutan kedua-duanya penting. Satu untuk masa depan, satu untuk masa 'muda'ku di 'sana'.

Ya Allah, tunjukkan ku jalan, dan permudahkan segala urusanku.

Gelora Rasa Hati

"Mengapakah kau berangkat pergi
Ketika ku masih perlu
Menatap wajahmu kali akhir
Dan lantas menyerang rindu..."

(Tak ingat tajuk lagunya hehe)

Sejak berada di tempat yang tiada capaian internet, nampaknya aku diserang rindu pula. Sudah lama tidak berhubung dengannya. Pada belaian tarbiahnya. Pada tazkirah saban waktu.

Sesetengah ikhwah sudah berkata, aku seperti menganggap dia itu ‘sheikh’ bagiku.

Tidak!

Bukankah, prinsip dalam perkumpulan kita, semua orang adalah sama? Maksudnya, sesiapa sahaja boleh memberi pendapat. Asalkan beliau punya hujah yang kukuh, keputusan itulah yang akan diterima.

Begitu juga dalam hal pentarbiahan. Bukanlah aku menganggap dia itu satu-satunya murabbi ku, tempat rujukanku sentiasa. Tapi, mungkin kerana keterikatan hati yang Allah telah cambahkan di hatiku ini. Lantas, membuatkan aku sentiasa dibayangi dirinya. Namun, masih ada batasnya juga. Aku tidaklah melulu dalam setiap perkara. Kerana dia bukan Sang Terpilih, Rasulullah saw. Maka ada juga kesilapan yang dia lakukan. Cumanya, aku menonjolkan apa-apa yang baik untuk anda semua contohi. Takkanlah aku hendak menceritakan keaibannya pula??

Maafkan diriku. Bukanlah aku hendak mengagungkan sesiapa.

Tapi, aku juga hendak menegur kerana beberapa ikhwah yang berada di bawah jagaan beliau dahulu mulai futur kerana kehilangan beliau. Itulah yang merunsingkan! Mungkin kerana mereka masih baru, dan aku pula tidak dapat melakukan tugas dengan sebaiknya dalam mengambil alih, membelai mereka dengan sentuhan tarbiah yang menghangatkan.


“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu).”
Maka, adakah bila dia tiada di sisi, kamu semua berpaling? Sudah hilang ke mana semangatmu itu? Adakah kamu gigih dahulu kerana mencari nama? Atau malu kepada orang lain? Atau kerana harta?

Tika Rasulullah wafat, saidina Umar dengan lantang menyuarakan ‘Muhammad tidak mati, tapi pergi sebentar menemui Allah’. Sehinggalah saidina Abu Bakar mengungkapkan ayat ke 144 surah Aali ‘Imraan di atas dan menyedarkan Umar bahawa Rasulullah telah wafat.

Ikhwaan fillaah,
Kadang-kala, kita tidak sedar apabila diri kita tergelincir dari landasan yang sebenar, lantaran kelekaan kita. Maka, marilah kita sentiasa memperbaharui niat kita. Juga, teruslah saling ingat memperingati dengan kebenaran dan kesabaran (Surah 103, Al-‘Ashr : Ayat 3) serta penuh kasih sayang (Surah 90, Al-Balad : Ayat 17). Sesungguhnya, hanya di atas jalan inilah kita akhiri hayat kita!

~ Teguhkan Hati, Koreksi Diri ~