(( Ramadhanku dan Ramadhan Mereka ))

(Tulisan yang ditebalkan merupakan lirik nasyid ‘Ramadhan Dua Zaman’ oleh kumpulan ‘The Zikr’)

*************************************************************************************

Ramadhan satu nasib tak serupa, Peluangnya sama natijah berbeza

Alhamdulillah, ganjaran dan keberkatan Ramadhan yang dikurniakan Allah sama dengan zaman Rasulullah. Namun, natijah (kesan) nya amat berbeza. Madrasah Ramadhan benar-benar mendidik jiwa sahabat Nabi untuk bermujahadah dan mengislahkan diri. Tapi ana, astaghfirullaah.. Masih lagi lalai. Ibadah masih lagi cupui-cupui (buat ikut dan = mana yang sempat). Sungguh rugi..


“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(( Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasa-i ))

Tindakan : Perbaiki lagi. Manfa’atkan hari yang masih tersisa. Masih lagi di level ‘Rahmah’ dalam bulan Ramadhan (sepertiga yang awal)



Ramadhan mereka gemilang cemerlang,
Mukmin berjasa di awal zaman,
Ramadhan kami malang terbuang,
Mukmin berdosa di akhir zaman

Penghayatan Ramadhan di zaman Rasulullah sangat berlainan dengan zaman ini. Mereka mempergunakan Ramadhan yang hanya menjengah sebulan dalam setahun dengan sebaiknya. Nampaknya ana pun belum lagi menghayati Ramadhan ini sepenuhnya. Masih lagi mempunyai masa kosong yang diisi dengan aktiviti yang kurang berpahala. Ubahlah sikap wahai diri... Rugilah, bulan ni ganjaran ibadah dilipatganda Allah..

“Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan
kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”.
(( Surah 103, Al-'Ashr : Ayat 1-3 ))

Tindakan : Fahami ibadah Ramadhan dengan sebaiknya. Uruskan masa dengan baik. Lupakah, setiap masa itu akan ditanya di akhirat kelak??


Mereka gembira kerana kedatanganmu,
Kami gembira dengan pemergianmu

Umat terdahulu gembira dengan ketibaan Ramadhan. Sedangkan ana, gembira dengan pemergian Ramadhan, sibuk menghias dan mencantikkan rumah untuk menyambut Syawal. Layakkah?? Mereka khuatir andai Ramadhan yang dilalui ialah Ramadhan yang terakhir dan menyambut Syawal sekadarnya. Sedang ana, sibuk membuat persiapan Syawal, yang tidak pasti layak atau tidak untuk menyambutnya.. Tidakkah malu untuk menyambut hari kemenangan dengan ibadah yang tidak seberapa??

Tindakan : Hidupkan Ramadhan dengan amal ibadah. Di samping itu, bermujahadah untuk menjauhi sifat-sifat mazmumah dalam diri.. Ya Allah, bantulah hambaMu ini..


Malam mereka meriah disimbah nur al-Quran,
Tapi malam kami muram berkabung dengkur

Gelap malam mereka diterangi dengan nur Al-Qur’an, qiyaamul layl dan zikrullah. Sangatlah rugi jika dihabiskan dengan dengkuran. Malam zaman ini tidaklah secerah mereka walaupun diterangi dengan lampu-lampu yang canggih tapi hakikatnya malam ini ‘mati’. Tiada usaha mempertingkatkan amalan.

Tindakan : Hidupkan malam dengan qiyaamul layl, solat dan sebagainya. Takkan menghabiskan sebahagian Ramadhan dengan tidur?? Ya Allah, temukanlah hambaMu ini dengan malam yang lebih baik dari 1000 bulan itu...


Mereka berlumba mengejar maghfirah
Tapi kami lesu di buru nafsu
Hati mereka bercahaya di gilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Di bulan penuh barokah ini, mereka berlumba-lumba mencari keampunan dariNya. Hati mereka bercahaya ibarat digilap dengan taqwa dan tawadhu’ padaNya. Ana masih lagi menunggu masa untuk memohon ampun dan memperbaiki diri. Masih lagi dibuai nafsu dan dosa. Layakkah diri ini menyambut Syawal?

Tindakan : Banyakkan beristighfar, memohon keampunan. Suburkan sifat tawadhu’, ikhlaskan hati dalam beribadah. InshaAllah, akan bertemu dengan kemanisan ibadah agar hawa nafsu tidak menguasai diri.


Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan ramadhan,
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

Syawal menjelma, takbir berkumandang tanda kemenangan. Takbir yang sebenarnya berhak untuk mereka yang benar-benar mujahadah di sepanjang Ramadhan dalam menentang hawa nafsu. Mereka yang layak bergembira masih mengatakan mereka tidak layak menyambut Syawal. Jika Ramadhan ada award, confirm, ana boleh dapat anugerah yang corot (last!).

Tindakan : Menunjukkan banyak lagi yang perlu diperbaiki. Berusahalah ke arah Ramadhan yang lebih berkualiti. Tingkatkan keazaman untuk istiqamah dalam ibadah walaupun Ramadhan telah pergi. Nikmatilah Ramadhan sebelum ia berlalu pergi..


Puasa antara latihan dalam mendidik jiwa dan nafsu. Persiapkan diri menyambut Ramadhan dengan meriah seperti mana sebelum ini kita menyambut hadirnya Syawal. Mulakan dengan menghayati pengertian ihyaa’ Ramadhan, seterusnya mengaplikasikan sepanjang Ramadhan. Akhir sekali, kekalkan dan istiqamah. Semoga Madrasah Ramadhan benar-benar mendidik jiwa-jiwa Mukmin.

Wahai Muhammad Bashir bin Zulkifli, mulakannya dari sekarang....


Inspirasi penulisan ini berdasarkan : [ link ]