Fazakkir

~ Tidak kesempatan menulis isi yang lebih berat, sengaja aku mahu kongsikan tazkirah Subuh yang aku sampaikan ketika mukhayyam pada cuti semester final lepas ~

Salah seorang sahabat yang mempunyai cerita yang menarik ialah Abu Dzar Al-Ghifari. ‘Al-Ghifari’ ialah gelaran kerana beliau berasal dari tempat bernama Ghifar.

Ketika dakwah Rasulullah telah tersebar secara terang-terangan, beliau mendapat tahu dan meminta seorang sahabatnya untuk meng’investigate’ tentang berita yang didengarinya. Apabila tidak puas hati dengan laporan yang disampaikan, beliau mengambil keputusan untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri.

Diringkaskan cerita, selepas berjumpa Rasulullah saw serta memeluk Islam, beliau dengan beraninya, pergi mengisytiharkan keIslamannya di hadapan orang musyrikin Makkah. Dua kali beliau berbuat begitu dan diselamatkan oleh bapa saudara Rasulullah, Abbas yang pada ketika itu belum lagi memeluk Islam.

Hmm, kalau bandingkan dengan kita zaman sekarang, sudah pasti sangat jauh berbeza. Hendak tunjukkan nilai-nilai Islam pun sudah malu bila di luar. (Terutama buat diriku yang bersekolah agama, malu pula nak tunjuk keIslaman di luar sekolah.. Astaghfirullaah..)

(Selebihnya, dah lupa, sebab spontan je)


~ Penyampaian Slot Resolusi 'LDK Bicara Remaja' di Kolej MARA Kuala Nerang (slot tu ringkas, yang ni dah tambah sedikit) ~

Menyoroti kisah Mus'ab bin Umayr, bagaimana dari seorang anak orang kaya, menjadi pemuda pujaan gadis-gadis, namun 'berubah menjadi seseorang yang lain' apabila cahaya Islam menusuk ke hatinya. Sehinggakan sanggup meninggalkan kemewahan demi mempertahankan imannya. Lantas dapat dilihat dalam peperangan Uhud, beliau syahid dan tidak mempunyai kain yang cukup untuk menutup keseluruhan jasadnya.

Juga 'Ali bin Abu Talib, yang mana tidak berfikir panjang untuk menggantikan Rasulullah pada malam hijrah Rasulullah ke Madinah.

Inilah susuk-susuk yang menjadi tulang belakang dakwah dan perjuangan Rasulullah saw.

Mereka ini punya ketahanan yang sangat kental. Juga keyakinan diri yang tinggi dengan apa yang mereka pegang, iaitu Islam. Anda bayangkan, pada masa itu, syariah masih belum lengkap, dan sudah tentu, masih tidak nampak matlamat secara jelas, apatah lagi melihatkan orang Islam sering ditindas (ketika di Mekah) tapi mereka ini berpegang pada Islam bagai menggenggam bara api!

Begitulah hebatnya tarbiah yang dibentuk oleh Rasulullah saw.

Bandingkan dengan pemuda zaman ini. Kita! Kitalah produk kejatuhan khilafah pada 1924M. Ya, walaupun kita produk kejatuhan itu, tidak bermakna kita tidak perlu berbuat apa-apa. Membiarkan ummah yang 'sakit' itu melarat, tidak diubati dan dicari penawar.

Berjayanya pihak yang dengki dengan Islam, merosakkan pemuda-pemuda Islam. Lihatlah, apa yang terjadi? Pemuda-pemuda Islam, mabuk dengan hiburan dan bermacam perkara yang menghanyutkan.

Jika dahulu, disebut pemuda Islam, gentarlah Kuffar dan Musyrikin, tapi kini tidak.

Dan dalam mendaki menuju kebangkitan Islam, ayuhlah kita bermula dari dalam diri sendiri. Bermula dari hati! Fahami Islam dengan hatimu! Tegakkan Islam di dalam hatimu!

Kerana apa dari hati? Kerana hati itu punca atau asas dalam diri seseorang. Jika baik hati itu, maka baiklah jasad itu (orang itu), tapi jika tidak, sudah tentulah sebaliknya.

Di kala semester baru hendak bermula ini, marilah memanjatkan sebanyak-banyak tasbih, tahmid dan takbir kepada Ilahi. Semoga Allah meneguhkan kita dalam perjuangan, serta tidak gentar dari mehnah yang mendatang.

Yaa muqollibal quluub, tsabbit quluubanaa 'alaa diinik, wa 'alaa to'atik. (Wahai Yang Membolak-balikkan Hati, teguhkan hati-hati kami di atas agamaMu, dan di atas ketaatan kepadaMu)

~ Next Year Will Be Different ~
~ Sedekad, Mengukuh Tekad, Membina Du'at ~
~ Semarakkan Dakwah, Alam Dilimpahi Rahmah ~