Di hari raya..Terkenang daku kepada si dia..(petikan lagu raya)
Aku masih terkenangkan dia. Sukar sekali melupakannya. Aku sungguh rindu padanya. Seakan pantas masa berlalu. Masa seakan cemburu. Jarum jam dirasakan berputar berganda-ganda cepat dari biasa. Jikalau boleh, mahu saja aku menghentikan waktu. Tapi sudah pasti aku tak mampu.
Dia telah pergi, tapi..
Aku masih terkenangkan sentuhannya. Merindukan belaiannya.
Dia pergi apabila masanya tiba, dan aku tidak dapat menghalangnya...
***************************
Apa agaknya yang dikenangkan tu ya?"Awek lama?"Salah."Murabbi lama?"Tak."Anak kucing
lamakesayangan?"Bukanlaaaaahhh!
*******************
Tapi dia yang membawa tiga perkara.
Rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka.
Ya, itulah Ramadhan! Bulan yang dirindui!
Auranya sangat mengujakan. Impaknya sungguh mendalam. Tapi..
'Aksi' persembahanku sepanjang Ramadhan masih belum memuaskan. Bagiku.
Ya, memang banyak sasaran berjaya kulakukan (alhamdulillah!). Tapi, aku masih rasa menyesal.
Kerana, kemampuanku bukan setakat itu sebenarnya. Tapi lebih dari itu.
Hanya, aku yang lalai dan leka ini, masih punya lagi sifat kemalas-malasan.
Terkenang aku pada satu kisah, di akhirat kelak, nantinya ramai (mungkin juga kesemua) orang yang masuk syurga akan berkata pada dirinya, "aduhai! Jikalau aku melebihkan amalanku ketika di dunia, dan meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat, pastinya aku akan mendapat ganjaran yang lebih di syurga ini. Dan memasuki syurga yang tertinggi." (Tak ingat baca di mana, tapi lebih kurang macam ni la)
Dan, kerana itulah, aku seolah-olah terasa kehilangan yang sangat besar pada 'Idul Fitri tahun ini. Seolah-olah kemenangan itu bukan untukku. (kerana 'Idul Fitri ialah kemenangan buat orang yang beramal sepanjang Ramadhan) Dan sebagai da'ie, jika kriteria kemenangan belum dicapai, mahukah kemenangan sampai kepadanya?
Alhamdulillah, cuma satu peningkatan yang bagus ialah aku mula dapat merasai 'kelazatan' ibadah Ramadhan itu. Dan ia menjadi saksi (penyaksian - syahadah) bagiku, bahawa ibadah (tarbiah dzatiah) itu sesuatu yang sangat penting dalam diri seorang du'at. Sebagai minyak pelincir dalam kenderaan dakwah untuk fardiah (individual). Jika minyak pelincir kering, enjinnya pasti tersekat-sekat, seumpama dakwah akan sedikit tersekat apabila da'ie itu kurang menjaga tarbiah dzatiahnya. Kerana itulah, minyak pelincir ini harus dijaga sebaiknya.
Sedikit kisah, buat renungan;
Ketika melakukan ibadah di malam hari, seorang tabi'in, Al-Ahnaf bin Qais akan meletakkan pelita berdekatan dengannya sambil beliau mendirikan solat di mihrabnya. Setiap kali terlintas di fikirannya dosa yang telah dilakukannya atau suatu kesalahan yang pernah dilakukannya, beliau akan mendekatkan jari ke api pelitanya. Beliau akan berkata: "Rasakan wahai Ahnaf kenapa engkau lakukan perkara itu pada hari itu. Celakalah engkau wahai Ahnaf. Jika engkau tidak mampu menahan api pelita ini dan tidak dapat menahan kepanasannya, mungkin engkau akan dapat menahan kepanasan api neraka dan mampu menahan seksaannya?!" [1]
Jika kita tahu bagaimana panasnya api neraka itu, maka kita tidak akan mahu singgah di sana walaupun sedetik! (Inilah penyaksian terhadap neraka)
Hai yang berjiwa du'at!
Saksikan bahawa Ramadhan itu satu terminal penyucian. Maka janganlah lagi kamu lalai dan leka lagi apabila Ramadhan 1432H datang padamu!
Syahaadatur Ramadhan!
~ Penyaksian Yang Tak Mampu Diungkap ~
[1] 37 Kisah Kehidupan Tabi’in. Pustaka Salam.