Teruskan Bergerak

Beberapa minggu lepas, telah aku habiskan pembacaan buku ‘Belajar dari Perang Uhud’. Sebelumnya, tahun 2008, aku telah habiskan buku ‘Belajar dari Dua Umar’. Di sini, ingin aku kongsikan secebis ilmu yang kudapat dari buku tersebut.


Bandingannya Perang Uhud, dapat kita lihat seperti situasi masa kini. Kita berada situasi pasca kejatuhan khilafah. Kejatuhan mental dan psikologi akibat kekalahan. Cumanya, tika Perang Uhud itu, kejatuhan mental dan psikologi masih terubat dengan adanya iman yang teguh. Mereka tertekan, dengan musuh yang nyata (Musyrikin di Makkah) dan musuh dalam selimut (munafiq) serta musuh yang dikira ’50-50’ iaitu yahudi di Madinah. Maka dapat lihat ketika itu, mereka sangatlah berdisiplin, berwaspada dan sangat menjaga keimanan mereka. Berbeza dengan kita, dalam keadaan kita ‘jatuh’ ini, kita masih bersenang lenang, tidak ada inisiatif membangkitkan semula maruah dan ke’izzahan kita untuk deen ini. Sedangkan saudara kita di tempat lain – Palestin, Selatan Thailand, Turkistan Timur (Xin Jiang) dan lain-lain – ditindas, dipermainkan, malah dihina. Apakah yang kita sedang lakukan saat ini?

Sepatutnya, sejarah kekalahan Islam dalam Perang Uhud itu menjadi pengajaran. Bukankah umat Islam itu tidak wajar untuk jatuh di lubang yang sama dua kali?

Makanya, jika ada yang masih belum mengetahui, ingin aku kongsikan di sini, sebahagian pengajaran dari Perang Uhud. Antaranya, pentingnya strategi dan mematuhi arahan pemimpin. Lihat sahaja, bagaimana strategi yang disusun Rasulullah berkesan kerana perancangan yang teliti. Namun, dalam hal mematuhi arahan pemimpin, kebanyakan pasukan pemanah mengingkari pesanan Rasulullah agar bertahan dari tempat mereka, lantas menjadi punca kekalahan Islam. (sila baca buku ini untuk mengetahui cerita penuh dan lanjut)

Selepas perang, dalam situasi yang agak lemah dan masih tertekan, Allah telah memberi motivasi dalam wahyu-wahyuNya. Hal ini untuk membangkitkan semula semangat Muslimin pada ketika itu, sebagai sokongan moral terhadap mereka. Berbeza dengan Perang Badar, banyak kritikan yang diwahyukan untuk Muslimin supaya mereka sentiasa berwaspada dan membaiki kesilapan untuk terus melakukan kejayaan dengan lebih baik pada masa akan datang, serta tidak bangga diri.

Marilah bersama-sama melahirkan umat yang bergerak! Jangan duduk berdiam diri, malah tidak ambil tahu nasib saudara seaqidah dan ummah! Malah menghasilkan generasi yang mandul dari segi pemikiran, serta tidak produktif. Ini juga menyebabkan potensi dan abiliti yang ada tidak dimaksimumkan. Bersama-sama kita menggerakkan ummah! Dan mulakan dengan dirimu sendiri. Kemudian keluarga dan saudara terdekat, sahabat, dan seterusnya orang lain.


Kita takkan berjaya membina satu binaan yang besar sendirian. Tapi dengan bersatu, kita akan kuat. ‘Satu lidi takkan mampu membersihkan semua kotoran, tapi bila dikumpul dan dijadikan penyapu, kotoran yang degil pun menyerah kalah’. Jom, jernihkan fikrah ummah untuk kesatuan ummah!

~ Maksimumkan potensi, Tingkatkan kompetensi ~

3 Tindakbalas²:

Satu Revolusi

Awal bulan ini, aku sempat menziarahi ikhwah di Kuala Nerang dan berhalaqoh kira-kira sejam lebih. Alhamdulillaah, dari pertemuan yang telah berlangsung, semoga Allah mentautkan hati-hati kami dengan ikatan keimanan dan persaudaraan Islam.

Ikhwah yang membawaku ke sana membuka majlis dan memulakan dengan isu terpenting ummah, iaitu Palestin.

Aku teringat salah satu roadshow Palestin yang pernah aku hadiri, seorang brothers dari Palestin membuat live audio conference ke Gaza pada waktu perang Gaza 27 Dis 2008 – 20 Januari 2009. Ibunya mengisahkan (secara ‘live’ ketika roadshow tersebut), bagaimana para ibu di sana, kerana sering mendengar bunyi pesawat dan senjata api, boleh mengenali jenis pesawat dan tembakan senjata api berdasarkan bunyi sahaja.

Dan, mereka di sana terus tabah bertahan, mempertahankan secebis dari tanah air mereka di samping berada di bumi yang diberkati.

Tahukah anda? Tika mereka getir, di saat peperangan itu meletus, usrah dan halaqoh mereka tetap berjalan. Dan jika tidak syahid, inshaAllah mereka akan hadir ke halaqoh dan liqa mereka. Murobbi mereka tabah, terus menerus mendidik dengan tarbiah imaniah untuk saling ingat-mengingati. Tika diberi ujian kesusahan, insya Allah, iman memecut naik, namun mereka, kerna sudah terbiasa, walaupun ramai yang menyambung pelajaran di luar negara seperti di Malaysia, masih mengekalkan momentum keimanan mereka. SubhaanAllaah!

Kita?

Terus di sini, leka dengan ‘dunia’ kita. Usrah dan halaqoh kita, kita beri alasan. Sibuk. Sibuk study, sibuk assignment dan sebagainya. Letih. Letih program itu dan ini. Mula-mula sibuk, kemudian mungkin ponteng dengan sengaja, dan seterusnya ‘lari’ terus dari bersama usrah dan tarbiah.

Sudah sampai masanya kita keluar dari kepompong keselesaan diri. Tugas kita bukan setakat memperbaiki diri, namun juga ummah ini. Sampaikan apa yang ada, biarpun sedikit. Kerana bila kita cuba menyampaikan, tika kita masih belum melakukan amal itu, insya Allah, kita akan rasa malu kerana tidak melakukannya, dan mula saat itu, kita mahu cuba melakukan amalan itu. (faham tak? Berbelit juga ayat ni)

Bayangkan, para sahabat dahulu boleh saja beralasan pada Rasulullah “wahyu tak habis lagi diturunkan”. Ilmu yang sedikit, namun ada usaha mengajak kepada kebaikan itu bukan takabbur. Bila kita buat kebaikan, tapi takut melakukan kerana tidak mahu dikatakan sebagai warak atau alim, itulah riak. Dan jika kita takut beramal kerana tidak ikhlas kepada Allah, itulah ‘ujub, seolah-olah kita sudah banyak amal.

Sebenarnya, ramai sahaja yang dahagakan kebenaran. Hanya kita sahaja yang masih ‘sombong’ dengan kelompok kita, tidak keluar untuk menghulur belaian iman dan tarbiah pada mereka. Lantas, apa yang dapat kita jawab di sana kelak? Marilah kita berasa malu kepadaNya agar kita semua dapat ‘memecahkan’ satu mindset yang negatif terhadap suasana yang ada sekarang. Kerana, jika kita yang berusaha mengubahnya, Allah pasti akan membantu. Percayalah, langkah pertama memang sukar, tapi bila kita punya usaha, Allah selalu bersama dan akan dibuka jalan dan dimudahkan dalam urusan keranaNya.

Marilah juga, kita takutkan pada kemurkaanNya. Jadilah orang yang baik dan membaikkan. Sesungguhnya Allah menurunkan musibah bukan terhadap orang yang berbuat munkar sahaja tapi juga orang yang tidak terlibat kerana tiada pelaksanaan amar ma’ruf (mengajak kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran).

Aku mencadangkan kepada kalian, jika tidak mampu melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar itu, maka bolehlah melakukan ‘ajakan kepada perubahan’ di mana membuat perubahan yang positif. Mungkin, opsyen (pilihan) yang kucadangkan ini tidak seberapa, namun lebih ‘selamat’ di mana kita mengajak orang dengan halus dan penuh berhikmah sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka sedang berubah menjadi soleh!


Ikhwah dan akhawat, revolusikan satu perubahan diri dari satu tahap ke tahap yang lain! Cabar diri anda! Jika sebelum ini kita mengislah diri, teruskan, maka insya Allah kita akan menjadi soleh. Dan, cubalah ke tahap untuk mengislah orang lain pula iaitu me'musleh'kan orang. (namun jangan tunggu diri sudah soleh baru ada usaha untuk musleh)

“Jika Allah memberi hidayah kepada seseorang disebabkan kamu, maka perkara tersebut lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.” (dalam riwayat lain, unta merah – kerana pada masa itu, unta merah bernilai seperti ferrari pada masa ini)

~ Iman, Amal, Semangat dan Ikhlas! ~

2 Tindakbalas²:

Task Force Hari Valentine

Flyers Hari Kekasih (Valentine), untuk sebaran. Copyleft (hakcipta tidak terpelihara). Sila klik dan save.

Versi Bahasa




Versi English


~ Perkasakan Tarbiah, Selamatkan Ummah ~

Men'servis' Hati

Sedar tak sedar, dah dua tahun tak balik rumah.

Teruknya!

Heh ~ Gurau sahaja. Kali terakhir aku berada di rumah, bersama keluarga ialah pada 29 November 2009. (dua tahun la kan?) - Aku tidak berada di rumah pada cuti final semester lepas kerana ada kursus Flash di Kedah.

Hujung minggu lepas, antara pengisian yang sangat menyentuh hati aku ialah ketika bersama merasai keindahan bersama Allah, bersama Rasulullah, bersama ibu bapa dan bersama kawan-kawan. Tidak lain tidak bukan, pengisian tersebut ialah dari program “Keindahan BersamaMu” atau akronimnya ‘KBM’.

Walaupun sudah lama mendengar namanya, tapi aku baru kali pertama mendengar pengisian dari program tersebut. Aku tidak berniat pun untuk menyertainya, hanya sekadar memerhati. Tapi seorang ikhwah meminta bantuanku untuk salah satu slotnya iaitu ‘Meniti Angin Malam’. Sambil membantu, aku juga turut mendapat pengalaman dan ilmu yang baru.

Alhamdulillaah, pengisian yang diberi sungguh menginsafkan. Aku harap beberapa ilmu yang aku peroleh itu akan dipraktikkan kelak.

Dalam pada itu, aku telah mengkhatamkan buku “Hati Sebening Mata Air” (lamanya aku ambil masa untuk habiskan, dari bulan April 2008 lagi aku mula baca) atau judul asalnya dalam bahasa Arab iaitu “Islaahul Qulub”.

Serius aku ingin khabarkan kepada kalian, usai sahaja aku membacanya, aku rasa ada beberapa pengajaran yang boleh dikaitkan dengan program KBM tadi.

Program KBM akan memperingatkan peserta bahawa dunia yang kita kejar selama ini hanyalah ilusi, sedangkan kuburlah destinasi kita sebelum ke mahsyar nanti. Ketika slot ini, aku teringat sebahagian isi buku tentang azab kubur, Hari Kebangkitan, syurga dan neraka serta hisab.

Menggetarkan hati..

Justeru itu, aku ingin kongsikan kepada kalian, petikan dari buku tersebut, bahawa Allah itu Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kerana apa?

Kerana, sungguh banyak sekali cara kita boleh masuk syurga.

Namun, kita perlu bersabar dengan ujian di dunia. Ujian untuk menahan dari maksiat, serta ujian dari kemalasan melakukan perkara yang mahmudah dan ibadah yang ditetapkan Allah. Pun begitu, Allah telah menyusun beberapa ‘terminal’ atau stesen bagi kita untuk menyucikan diri sebelum dihisab.

4 di dunia

1. Taubat
2. Istighfar
3. Kebaikan dan amal soleh
4. Musibah dan ujian

3 di kubur

1. Solat jenazah
2. Fitnah dan seksaan di kubur
3. Hadiah pahala dari amal manusia

4 di hari qiamat

1. Kengerian hari Qiamat
2. Berdiri di hadapan Allah swt
3. Syafaat Nabi
4. Ampunan Allah

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

(Surah 55, Ar-Rahman : Ayat 16)
Lihatlah, di dunia sahaja telah disediakan empat terminal penyucian dosa. Pilihan di tangan kita. Sama ada hendak menyuci dengan cara yang baik di dunia, atau dengan cara yang menyeksakan seperti diazab di kubur atau ditimpakan kesusahan dan kepayahan ketika di padang Mahsyar.

Buku yang ana reviewkan tersebut, sangat bagus untuk dibaca kerana dapat meningkatkan intensiti ‘selera’ anda untuk beribadah. Tidak kira ibadah rohani atau jasmani. Pastinya, anda akan cuba untuk cuba meraih perhatian dariNya dengan membaca surat cintaNya (Al-Qur’an) dan melakukan kebaikan hanya untuk mendapat keredhaanNya.

p/s - Sekadar memperingatkan terutama diri yang menulis ini. Jangan hanya lincah di medan tarbiah luaran tapi kita lupa pada tarbiah dzatiah (peribadi). Kelak akan menghasilkan jiwa yang kosong dan ‘kering’. Jika tidak dirawat segera, iman akan menjadi kontang dan futur boleh terjadi.

~ Islah, Islah, Membawa Perubahan ~

2 Tindakbalas²:

Permata Yang Dicari

*Sila ambil kira 'quote' yang diboldkan (ditebalkan) sahaja untuk lirik di bawah.*

Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini
MashaAllaah, sungguh, aku rasa tak berkuasa menahan diri bila mendengar bicaranya. Tika aku ‘mabuk’ dengan kalimah-kalimah yang keluar dari mulutnya, aku rasa seakan di awangan. Tidak sanggup rasanya bila menghadapi saat-saat perpisahan. Mahu sahaja aku menghentikan masa, agar aku sentiasa dapat bersamanya.

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu
Aku mohon sungguh-sungguh padaMu ya Allah, semoga hati-hati kami diikat dan disatukan. Jadikan hati kami tidak berbelah bahagi, saling sayang dan menyayangi.

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu
Dialah..! Permata yang baru ditemui. Dulunya kabur, kini sudah tampak jelas. Memberi sinar baru dalam hidup.

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu
Dan padaMu ya Allah, kuharap cinta yang hadir ini terus bersemi indah..

*************************

Pastinya, ramai yang tahu lirik lagu ini. Ia adalah lirik nasyid jiwang “Permata Yang Dicari” yang dinyanyikan oleh kumpulan DeHearty.

Sengaja aku meletakkan tajuk yang ‘panas’ dan sensasi agar menimbulkan kontroversi. Supaya anda semua mempunyai daya inkuiri yang tinggi. Tapi niatku bukan untuk membuat propaganda, apatah lagi gosip-gosip liar yang penuh fitnah (pada diri). Tujuanku hanya berkongsi rasa hatiku.

Rasa hati? Amboi dah pandai..

Rasa hatiku terhadap ruh-ruh baru dalam aktiviti penyeruan kepada jalanNya (also know as dakwah).

Hujung minggu lepas, (30 dan 31 Januari) aku berpeluang bersama ikhwah-ikhwah di Perlis dan mengikut program bersama mereka (inshaAllah, perkongsian pengisian program akan dikongsi jika ada permintaan).

Dan, dari program itulah, tercetusnya idea untuk entry ini. Aku lihat bagaimana kader-kader baru yang bersungguh-sungguh ingin ditarbiah pasca program berakhir. Bersemangat sekali selepas mendengar pengisian yang sangat menggugah hati mereka (Allaahu Akbar). Tak tahu bagaimana untuk kuungkapkan.

Maksimumkan potensi

Tahukah anda? Permata yang bernilai dan berkilau itu, ketika baru dilombong (sebelum proses), hanyalah ketulan-ketulan yang comot dan nampak tidak berarti.

Begitu juga manusia, jika potensi mereka digilap dan dimaksimumkan, maka terhasillah manusia yang berguna. Dalam usaha dakwah, mereka dalam proses menjadi permata-permata yang bernilai kepada ummah.

Entry ini, aku tujukan khas buat semua murobbi dan mudarris, terutama sekali murobbi teragung, Rasulullaah saw. Tidak dilupakan juga buat semua mad'u dan mutarobbi, tidak kira di mana jua antum berada, kerana antumlah yang bakal memikul beban perjuangan, membakar semangat ikhwah dan bakal ikhwah untuk terus menyalakan tekad dan menguatkan azam untuk meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.

Sesungguhnya, butir-butir bicara kalian sangat memikat hatiku dan meruntun jiwaku ini untuk bersama di dalam gerabak dakwah yang panjang ini. Terkenang aku, ketika mula-mula menerima ‘ketukan hati’ oleh murobbiku dahulu. Aku jadi ‘mabuk’ untuk sama-sama bekerja untuk agama yang mulia ini. Begitu juga dengan mereka (ikhwah baru Perlis).

Wahai du'at, teruskan usaha meng‘gilap’ permata-permata baru untuk meneruskan kelangsungan dakwah. InshaAllaah, dari jiwa-jiwa inilah akan muncul generasi yang akan memakmurkan muka bumi ini selaras dengan landasan yang ditetapkan Allah bagi manusia. Kerana, di tangan ruh-ruh baru dakwah inilah tempat ummah bergantung. Mereka inilah pewaris, penyambung dan perantara misi perjuangan yang dimulakan ‘Al-Amin’ (gelaran Rasulullah oleh Quraisy, yang bermaksud Yang Amanah).

Dan kerana mereka dan aku punya persamaan, aku berharap agar hati-hati antara kami diikat supaya ukhuwwah yang terjalin bakal mewujudkan satu keharmonian dalam dakwah. Saling bekerjasama, bagai aur dan tebing;
Allah menciptakan batu yang luar biasa besarnya, Allah menciptakan begitu kerasnya batu, Allah menciptakan air yang mengalir dengan lembut ini. Tapi antara batu dengan air mereka bekerjasama untuk menimbulkan satu harmoni yang Allah harapkan dalam semua aktivis dakwah. Bagaimana dengan kita? Kita sama Muslim, kita sama-sama aktivis dakwah, kenapa banyak antara kita semua tidak mengambil ibrah ini? Kenapa banyak antara aktivis dakwah selalu mengatakan ini hak antum, ini hak ana, ini kewajipan antum, ini kewajipan ana. Tidak ada. Malulah kita kepada apa yang diciptakan Allah. Batu dan air ini. Tidak ada pertikaian antara mereka.

[ Quote dari filem Sang Murabbi ]

Gambar ihsan dari akh 'Arif

Semoga Allah meneguhkan hati-hati yang ikhlas keranaNya untuk terus istiqomah dan tsabat. Yaa ayyuhal ikhwah, uhibbukum fillaah!!

p/s - entry ini terpaksa di'update' kerana ada yang salah faham, lantaran tajuknya yang menimbulkan sedikit kontroversi di kalangan blogger du'at. (istilah baru ni, leh masuk Kamus Dewan tak?)

~ Gelorakan Semangat Perjuangan ~

1 Tindakbalas²: