Kempen 3J UUM




Sepatutnya entry ini dimasukkan awal-awal sebelum bermulanya ekspo konvokesyen UUM kali ke 22 sidang ke-2 pada awal oktober baru-baru ini, tapi ke-tidak-sempat-an menyebabkan penulisan mengenai kempen itu tidak dilakukan.

Mengenai kempen tersebut, anda boleh lihat di montaj video di atas (insya Allah akan diletakkan di bahagian atas blog ini sehingga hujung tahun ini). Kempen 3J ini ialah kependekan bagi “Jagalah Aurat, Jauhi Maksiat dan Jangan Tinggal Solat.”



Jagalah Aurat

Allah berfirman dalam surah ke-24 dalam Al-Qur’an, An-Nuur, ayat ke-31 :

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak (hamba sahaya) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
[ Surah 24, An-Nuur : Ayat 31 ]

‘Detail’ sekali penerangan mengenai aurat di dalam Al-Qur’an. Dalam hal ini, penutupan aurat bukanlah untuk mengongkong seperti yang dikatakan orientalis. Bukan untuk menyekat kebebasan mereka. Tetapi ini untuk kebaikan juga.

Banyak perkara yang tidak baik dapat dijauhkan apabila aurat ditutup dengan sempurna. Allah telah menetapkan semuanya dengan sangat tersusun. Menutup aurat tidak menghalang wanita untuk bersukan, bekerjaya dan sebagainya, asalkan batas-batas syari’at dan pergaulan sentiasa terjaga.

Perhatikan ayat tersebut, dimulakan dengan “hendaklah mereka menahan pandangannya” bererti menjaga batasan pandangan. Fitrah bagi manusia, suka melihat sesuatu yang menyedapkan pandangan. Namun, bukankah seindah perhiasan dunia ialah wanita solehah? Bererti yang menurut perintah Allah (sudah semestinya menutup aurat). Maka dengan menundukkan pandangan juga, insya Allah akan berkuranglah jumlah wanita yang tidak menutup aurat.

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[ Surah 33, Al-Ahzaab : Ayat 59 ]

Jauhi Maksiat

Akhir-akhir ini, pergaulan antara lelaki dan perempuan sangat tidak terjaga. Bertepuk tampar tanpa segan silu, malah berpegangan tangan di khalayak ramai.

Perlu ditekankan, apabila meningkat remaja, lelaki dan wanita sudah mula mempunyai keinginan terhadap berlawanan jantina. Maka, dalam menjauhi maksiat juga, hendaklah dimulakan dengan menjaga pergaulan antara jantina yang berlawanan. Allah telah mengingatkan dalam firmanNya :

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
[ Surah 17, Al-Israa’ : Ayat 32 ]

Firman ini sangat popular. Namun ramai yang endah tak endah dengannya. Apabila ditegur, “kami berbual je,” “kami makan-makan je,” “kami SMS je” dan 1001 serba serbi jawapan yang akan diterima. Ayat tadi melarang mendekati zina, bererti mendekatinya sudah pun HARAM!

“Apabila seorang lelaki berseorangan bersama seorang wanita, yang ketiga ialah syaitan.”
[ hadith riwayat At-Tirmizi ]

Apabila pergaulan antara silang jantina berlaku, syaitan akan menggunakan segala cara yang ada untuk memesong seseorang hatta orang ‘alim sekali pun.

“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.
[ hadith dari Abu Hurairah r.a. ]

Perhatikan!

Bermula dengan mata, mungkin menyebabkan timbul keinginan. Kerana itulah pentingnya menjaga pandangan. Akhir sekali, hendaklah juga berjaga-jaga dengan zina hati di mana menyebabkan timbulnya ‘penyakit’ rindu.

Jangan Tinggal Solat

“Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama.”
[ hadith riwayat Al-Baihaqi dari Ibnu Umar ]

Situasi ini mungkin tidak perlu diterangkan lebih lanjut rasanya. Di universiti sahaja, berapa ramai sangatlah bilangan jamaah yang hadir untuk solat berjemaah. Mungkinlah mereka solat di bilik, tapi dari ‘interview’ tak rasmi yang pernah dilakukan saya, ada yang memang tidak bersolat dengan alasan kelas dan sebagainya.

Ingatlah! Solat merupakan amalan pertama yang akan ditanya di akhirat kelak. Bagaimanakah nasib kita di sana kelak jika amalan solat kita tidak sempurna? Dan adakah kita pasti bahawa solat yang dilakukan itu diterima olehNya?

Kita dikira beruntung kerana dapat solat dalam keadaan yang aman. Bayangkan di masjidil Aqsa, Palestin. Mereka bersolat dengan diacukan senjata ke arah mereka. Tidakkah ia suatu yang susah? Namun kerana ini adalah perintah Allah, mereka tetap melakukannya. Tidakkah kita berasa malu?



Kesimpulan

Pada masa Islam menguasai 2/3 dunia, ketiga-tiga perkara ini mungkin tidak terfikir bagi mereka terutamanya meninggalkan solat. Namun amat menyedihkan apabila di masa kini, umat Islam terleka sehingga perintah lima waktu ini kerap ditangguhkan atau ditinggalkan. Diharapkan dari penulisan ini dapat membawa satu perubahan kepada pembaca sekalian terutama dari golongan muda kerana merekalah harapan baru ummah!

P/s - posting ini tidak menyatakan 100% pendapat penulis. Mungkin ada toleransi dalam sesetengah perkara, bergantung kepada keadaan.