(( Meminta Maaf dan Puasa ))

Sedang mencari artikel tentang Ramadhan, ana terjumpa sebuah artikel yang agak menarik untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat semua.

*************************************************************************************

Setiap kali Ramadhan semakin menjelang, pastinya kita akan menerima mesej yang di-fowardkan melalui YM ataupun Friendster tentang sebuah hadis berkaitan doa Jibril dan diaminkan oleh Nabi s.a.w. serta para Sahabat yg mana antara intipatinya termasuklah terabainya puasa seseorang yang tidak memohon maaf kepada orang-orang tertentu.

Saya sudah berusaha sedaya mampu saya mencarinya di dalam kitab-kitab hadis namun tidak saya temui. Malah kitab-kitab fiqh juga tidak membahaskan mengenai perlunya meminta maaf sebelum masuknya bulan Ramadhan bagi mengelakkan diabaikan puasa kita oleh Allah. Kebanyakkan yang menyebarkan hadis itu sendiri tidak sedar bahawa tidak semua hadis itu sahih (authentic) hanya sekiranya ia menyatakan “Rasulullah ber-sabda” atau “Rasulullah melakukan itu dan ini”.

Saya tidak berani meletakkan darjat hadis tersebut (samada sahih, hasan, dhaif atau palsu) kerana biarlah mereka yang lebih alim dalam bidang hadis melakukannya. Cuma yang boleh saya katakan, saya (dan beberapa orang yang turut pernah menyemaknya) tidak menemui sebarang tanda yang boleh membawa kita menilai darjatnya. Sesiapa yang menyatakan ia sahih, sila kemukakan hujah dan bukti dan sampaikan pada saya agar saya boleh mendapat manfaat ilmu itu.

Katakanlah: Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.[al-Baqarah 2:111]

Saya menulis bukan untuk membahaskan darjat hadis tersebut di sini tetapi fokus saya adalah berharap agar pembaca dalam membetulkan sikap dalam berinteraksi dengan hadis terutama yang kita tidak tahu sumbernya. Sedangkan para sahabat sendiri takut menjadi orang yang banyak meriwayat-kan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas Rasulullah s.a.w, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada Rasulullah. Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda Rasulullah s.a.w:

Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hen-daklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]

BERDIAM DIRI LEBIH BAIK

Rasulullah s.a.w bersabda:
Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar. [Sahih Muslim - hadis no: 5]

Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:
[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.
[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .
[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.

Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman Rasulullah s.a.w..Ingatlah Firman Allah:
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra’ 17:36]

SILA LIHAT ARTIKEL ASAL DI BLOG DI BAWAH.

http://demipena.com/2007/09/hadis-doa-jibril-dan-sikap-kita.html
Edry AlFaisal, Timb. Amir Institusi Usrah Cyberjaya 06/07

2 Tindakbalas²:

slamat berpuasa:)

kahfi8 said...

selamat berpuasa gak untukmu sahabatku..