(( Konvensyen NGO Bersama Kerajaan Kedah : Menuju Kedah Sejahtera, Ni’mat Untuk Semua ))





“....(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun." (( Surah 34, Saba’ : Ayat 15 ))

Sebuah negeri atau kerajaan yang diurus dan ditadbir dengan baik dan cemerlang, kebanyakannya mempunyai pemimpin yang berkaliber dan komited dalam kerja. Penyelewengan dalam pentadbiran bermula dari sifat kebendaan yang tinggi yang menjadi tumpuan. Ketika ini, ramai yang mengejar harta dunia yang fana dan melupakan simpati, sifat pemurah dan tolong-menolong. Tika itu akan mengundang murka dari Tuhan lantas banyak bencana yang menimpa.

Dalam membentuk sebuah kerajaan yang mantap, kerjasama semua pihak sangatlah penting. Oleh itu, pihak kerajaan tidak boleh mengenepikan peranan NGO. Pagi tadi (10hb Mei 2008) ana berpeluang menghadiri konvensyen NGO bersama dengan Kerajaan Kedah yang baru.

Pembentangan pertama diberi oleh Haji Mohd Azmi bin Abd Hamid, Pengerusi Majlis Muafakat Warga Kedah Darul Aman (WEHDAH) dan TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS). Kira-kira jam 1030, Menteri Besar Kedah, YAB Ustaz Haji Azizan Abdul Razak tiba dan memberi ucapan perasmian. Jam 1200, seorang anak muda dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) iaitu saudara Mohd Faridzul M. Nasaruddin yang merupakan Pengerusi GERAK Mahasiswa Anti-Rasuah memberi pembentangan. Selepas makan tengahari dan solat Zohor, setiap wakil NGO memberi pandangan, cadangan dan komentar kepada Exco NGO Kedah, YB Dr Ismail bin Salleh.



Model Pemimpin : Khalifah Umar Abd Aziz

Yang menarik minat ana ialah ucapan dari Ustaz Abu Khair, wakil dari Persatuan Ulama’ Kedah. Beliau menekankan mengenai pentadbiran dan pengurusan negeri yang adil dan jujur dan berlandaskan Islam dapat membawa kepada keberkatan dan kemakmuran.

Beliau menceritakan bagaimana Khalifah Umar Abd Aziz yang ingin tidur tengahari tetapi belum menyelesaikan masalah negara. Anaknya lantas menegur Umar, “yakinkah ayahanda, ayahanda masih hidup selepas ini?”

Kata-kata ini menyedarkan Umar dan dapat diketahui dari kisah-kisah bahawa Khalifah Umar Abd Aziz ini sangat teliti dalam menguruskan pentadbiran negara. Dia tidak mahu sedikit pun harta rakyat digunakan untuk kepentingan peribadinya. Inilah contoh pemimpin yang bersederhana dan tidak memandang kebendaan. Jika pemimpin dapat menunjukkan contoh yang baik, sudah tentu rakyat akan mencontohinya dan akhirnya akan membentuk sebuah negara yang sejahtera, makmur dan diberkati Allah.

Sebelum menamatkan ucapan, beliau memetik kata-kata dari ilmuan Islam terkenal iaitu : “Untuk mendapatkan sebuah kerajaan terbuka sangatlah sukar seperti seorang ibu melahirkan anak, di mana ketika dilahirkan, anak itu menangis sedangkan orang di sekelilingnya riang gembira, jika ada peluang, persiapkan diri untuk memandu umat ini, beramal dan bantu-membantu kepada masyarakat, kelak pabila kamu bertemu Allah, orang di sekelilingmu akan menangis sedangkan kamu pergi dengan riang gembira.”

Semua orang merupakan pemimpin, sekurang-kurangnya menjadi pemimpin untuk diri sendiri. Justeru itu, pandulah diri menjadi insan yang Soleh.

Jadilah imam yang baik, juga ma’mum yang baik!