(( Ke Mana Pergi Belia dan Remaja Islam? ))

Golongan muda iaitu remaja dan belia ialah individu yang berusia sekitar 15 hingga pertengahan 20-an. Ada juga yang mengkategorikan sehingga 30 tahun. Apapun definisinya, kebanyakan golongan ini sangat pendek akal dan suka mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan.
Tanpa memikirkan akibat dan impaknya. Ingin mencari pengalaman, kata mereka. Akhirnya, kita lihat banyak masalah dan gejala sosial yang muncul dari golongan ini.

Mereka inilah bakal memimpin negara suatu masa kelak. Tapi bagaimana hendak memimpin jika diri sendiri masih lagi tidak mampu untuk dipimpin. Masih tidak merdeka. Walaupun bebas dari belenggu penjajahan, tapi minda mereka masih lagi dikongkong. Bebasnya mereka pada perlakuan sehingga perilaku mereka melampaui batasan agama.

Realitinya, remaja dan belia Islam yang banyak terlibat dalam masalah ini di negara kita. Sepatutnya, dengan kemajuan teknologi dan pembangunan pesat negara, remaja dan belia Islam semakin berfikiran terbuka dan matang dalam berfikir. Masalah keruntuhan moral remaja dan belia Islam mestilah dipandang serius dan diberi perhatian khusus. Tidak patut dibiarkan.

“Alah, nak tua nanti taulah nak taubat..” Tunggu tua? Kalau ajal tiba sebelum tua? Firman Allah s.w.t : (( “Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan. ” Al-Munaafiquun, Ayat 11 ))

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang berfikiran sebegitu.

Di mana silapnya?

Masalah keruntuhan moral generasi muda hari ini memang masalah yang hebat dibincangkan di mana-mana negara di dunia. Baik negara maju, membangun, mahupun negara dunia ketiga. Kecanggihan bukan membawa kepada pembentukan jiwa yang dekat kepada Allah, tetapi menambahkan kelalaian mereka kepadaNya. Maka setiap hari kita dapat lihat pelbagai kes-kes yang kian menjadi tepu untuk didengar dan meluat untuk dibaca.

Keruntuhan institusi keluarga dapat dilihat di mana ibu bapa tidak memperdulikan anak-anak mereka. Anak-anak pula menganggap kebebasan yang diberikan sebagai ‘tiket’ untuk melakukan apa sahaja. Pergaulan bebas membawa kepada penzinaan dan hamil luar nikah. Seterusnya membawa kepada buang anak, pengguguran dan pembunuhan bayi.

Banyak pihak membimbangkan masalah ini, tetapi jalan penyelesaian seperti sukar untuk dicari. Bermacam-macam cara dan strategi untuk membanterasnya. Kempen, seminar, dan sebagainya. Hakikatnya, semakin banyak masalah pula yang timbul.

Bagaimana hendak mengatasinya?

Kembali kepada pertimbangan dan hukum Islam. Didikan awal terhadap Islam sangat memainkan perana penting. Kejahilan terhadap ilmu agama menyebabkan ramai remaja Islam mengambil mudah terhadap perkara yang berkaitan, tanpa mengikut hukum syara’. Ibu bapa seharusnya memberi didikan agama sejak anak-anak berusia 7 tahun dengan mengajar cara-cara bersolat. Seterusnya, diajar secara berperingkat-peringkat selain menghantar mereka ke sekolah agama.

Bagi remaja tindakan yang boleh dilakukan ialah dengan mendekati mereka. Untuk menasihati mereka. Kebanyakan remaja yang bermasalah kerap menyimpan rahsia mereka. Dekati mereka dan bantu mereka menyelesaikan masalah tersebut. Di samping itu, ajaklah mereka kembali pada cara hidup Islam yang sebenar. Tidak mustahil, jika para remaja hari ini dapat mengembalikan jati diri Islam yang sebenar, Islam dapat ditegakkan sebagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu.